Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mat Hasan: Maklumkan jadual sebenar perolehan vaksin

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan meminta kerajaan menjelaskan jadual sebenar perolehan vaksin.

Mohamad berkata, meskipun kerajaan telah mula melaksanakan fasa kedua vaksinasi Covid-19, namun ramai yang mempersoalkan kenapa prosesnya sangat perlahan.

"Rakyat sebenarnya memahami bahawa bekalan yang tidak stabil adalah penyebab perlahannya proses vaksinasi nasional ini.

"Di sinilah penjelasan kerajaan sangat diperlukan. Maklumkan jadual sebenar perolehan vaksin agar jangka waktu yang lebih realistik dapat meredakan segala kegusaran rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang membabitkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik telah bermula 19 April.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bekalan vaksin masih rendah dan dijangka hanya akan stabil mulai bulan Jun dan seterusnya.

Dia turut memberi jaminan bekalan yang mencukupi untuk vaksinasi 80 peratus penduduk pada akhir tahun ini.

Selain itu Khairy juga dilapor berkata program imunisasi kebangsaan sedang dilaksanakan mengikut fasa yang diumumkan pada 14 Feb lepas dan perancangan program tersebut dibuat mengambil kira jadual penghantaran vaksin yang diberi oleh syarikat-syarikat pembekal vaksin.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa satu siasatan bebas dikendalikan parlimen bagi mencari punca ‘kelembapan’ kadar pemerolehan vaksin oleh kerajaan pusat, negeri dan pihak swasta ketika ini.

Dakwanya, setakat ini, kurang tiga peratus rakyat Malaysia sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 menyebabkan beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan berusaha sendiri memperoleh bekalan vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Kerajaan perlu yakinkan rakyat

Mengulas mengenai pendaftaran vaksin, Mohamad yang juga bekas menteri besar negeri Sembilan itu berkata ia perlu digiatkan.

"Kita tidak boleh memaksa rakyat untuk divaksinasi. Namun kita boleh meyakinkan mereka melakukannya dengan sukarela.

"Kepada warga asing pula, ramai tidak mengetahui cara untuk mendaftar sebagai penerima, terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai dokumen sah. Meyakinkan mereka bukan tugas mudah," katanya lagi.

Tambahnya, lebih setahun negara berhadapan dengan pandemik ini dan Malaysia telah menanganinya dengan baik walaupun banyak lagi ruang untuk penambahbaikan.

Katanya, situasi ini mewajarkan Malaysia mempunyai strategi klinikal, vaksinasi, mitigasi dan ‘prevention’ yang benar-benar "terpadu".