Hasrat akok setanding sushi - inovasi graduan universiti Jepun
Seorang graduan Universiti Takushoku Tokyo di Jepun bertekad untuk mempopularkan kuih tradisional Kelantan iaitu akok, seperti mana terkenalnya sushi di serata dunia.
Shamil Sukri, 26, yang juga pengasas Akok Pok Long berkata, peluang berkecimpung dalam perniagaan kuih tradisi itu memberi idea untuk meluaskan lagi pasaran.
"Macam di Malaysia, kita dapat tengok makanan Jepun iaitu sushi ada di mana-mana tempat, malah dijual di seluruh dunia.
"Matlamat saya, agar kuih tradisional Kelantan ini menjadi terkenal seperti sushi dan kuih akok menjadi simbolik kuih yang sedap berasal daripada Kelantan.
"Ini menjadi satu peluang untuk mengangkat imej akok ini sendiri," katanya ketika ditemui Malaysiakini di gerai Akok Pok Long di Peringat, Kota Bharu, semalam.
Berkongsi pengalamannya, Shamil berkata, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas mencetuskan idea untuknya memulakan perniagaan itu.
Shamil berkata setelah tamat pengajian dia menjadi pemandu pelancong di Jepun sebelum kembali ke tanah air.
"Selepas itu bermulalah idea dan usaha saya dalam perniagaan akok ini.
"Alhamdulillah dengan perniagaan ini, saya dapat membantu orang kampung saya sendiri dari segi peluang kerja," jelasnya.
Dibakar guna 'cupcake maker'
Tambahnya lagi, menjelang bulan Ramadan permintaan terhadap kuih akok meningkat kerana dijadikan juadah pembuka selera pada waktu berbuka puasa atau moreh.
Seawal jam 7 pagi katanya, kerja-kerja membacuh aduan tepung gandum selain memerlukan sekitar 100 kilogram santan asli untuk penyediaan akok.
"Pada bulan Ramadan permintaan dan tempahan diterima Akok Pok Long boleh mencecah sehingga 6,000 biji sehari," kata Shamil.
Pemegang sarjana muda reka bentuk itu berkata, dia juga memperkenalkan gabungan kaedah moden dan tradisional dalam penyediaan kuih kegemaran ramai itu.
"Di Akok Pok Long ini, kami gunakan cara membakar lain daripada yang lain seiring dengan perkembangan teknologi pembuatan kuih. Di sini kita gabungkan penyediaan tradisional dan moden sekaligus.
"Biasanya, orang akan bakar akok dengan menggunakan sabut kelapa, arang, dapur gas, atau ketuhar.
"Tetapi, kami menggunakan cupcake maker untuk menghasilkan bentuk kedut yang cantik di samping mengekalkan aroma yang asli," jelasnya Shamil sambil menjelaskan resipi akoknya turut menggunakan adunan gula melaka.
Kini mempunyai dua cawangan kedai dengan kekuatan 20 pekerja, Shamil berharap usahanya itu dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang.
Katanya, ia bagi memastikan agar makanan warisan Kelantan itu dimartabatkan dan mendapat tempat di hati masyarakat dalam dan luar Kelantan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai