Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Indeks kebebasan media RSF: Kedudukan Malaysia terus merosot

Malaysia jatuh sembilan lagi kedudukannya pada indeks kebebasan media tahunan Wartawan Tanpa Sempadan atau Reporters Without Border (RSF).

Pada tangga ke-119, Malaysia diapit antara Republik Kongo dan Nigeria.

Bagi negara-negara di rantau ini, hanya Indonesia (113) yang mencatatkan kedudukan lebih baik daripada Malaysia. Negara Asia dengan kedudukan terbaik adalah Korea Selatan (42).

Ranking terbaik Malaysia adalah pada tahun 2020 (101 dari 180 negara) sementara ranking terburuk adalah pada tahun 2014 dan 2015 (147).

Menurut RSF mengatakan bahawa kebebasan media di Malaysia meningkat secara mendadak setelah pilihan raya 2018, tetapi keadaan berubah sejak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil alih.

"Bagi media, pemulihan pentadbiran authoritarian pada tahun 2020 telah menyaksikan pendakwaan, penggeledahan polis, pengusiran (wartawan dan pemberi maklumat) dan pelanggaran terang-terangan mengenai kerahsiaan sumber wartawan.

"Untuk melindungi diri mereka daripada asakan kerajaan, ramai wartawan terpaksa menapis diri sendiri," katanya.

Pada bulan Ogos tahun lalu, pihak berkuasa menyerbu pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur berhubung sebuah dokumentari mengenai dakwaan penganiayaan ke atas pendatang asing.

Sumber utama dalam dokumentari itu - warga Bangladesh Mohd Rayhan Kabir - akhirnya diusir pulang.

Antara lain, RSF mengaitkan kebangkitan semula Jabatan Hal Ehwal Khas - yang disifatkannya sebagai alat propaganda kerajaan - telah mempengaruhi kebebasan media, tetapi tidak menghuraikannya.

RSF mengambil maklum bahawa beberapa undang-undang yang menghambat kebebasan media masih berleluasa sejak tahun lalu - Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Di bawah undang-undang, yang layak diperbaiki secara menyeluruh, pihak berkuasa memiliki kawalan ketat terhadap lesen penerbitan dan wartawan boleh dihukum penjara 20 tahun atas tuduhan hasutan," kata RSF.