Bela PU Amin: Islam benci agamawan sekongkol dengan perampas kuasa, kata Kadir
Jika sesetengah pihak mengecam PU Amin kerana hadir di majlis yang melibatkan wanita berpakaian seksi, tokoh wartawan negara A Kadir Jasin sebaliknya berpendapat ia adalah wajar buat bekas peserta siri realiti televisyen itu.
Kata A Kadir pada pandangannya memang begitulah tugas asasi seorang pendakwah iaitu berdamping dengan sebanyak mungkin kumpulan manusia tanpa mengira tempat, masa dan suasana untuk menyampaikan Islam.
"Bagi saya (ia) bukan saja tidak salah malah patut dipuji jika ada pendakwah Islam yang sanggup mengambil pendekatan sejagat bergaul dengan sesiapa sahaja, lebih-lebih lagilah dengan orang bukan Islam atau orang Islam di pinggiran," katanya dalam hantaran di media sosial pagi ini.
Sebaliknya perlakuan yang salah, kata bekas penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad itu, ialah orang agama yang bersikap bermuka-muka dan berlagak kononnya berperangai baik sedangkan hakikat adalah sebaliknya.
"Lebih baik orang agama bergambar dengan wanita cantik di khalayak ramai ketika berdakwah daripada bersekongkol dengan pemimpin yang merampas kuasa atau yang rasuah. Islam benci hipokrit!" katanya.
Semalam PU Amin mengundang polemik apabila muncul gambar dia bersama dua wanita berpakaian seksi semasa menghadiri suatu majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun semasa menjelaskan apa yang berlaku PU Amin berkata dia hadir di majlis berbuka puasa berkenaan kerana melihat ada peluang untuknya berdakwah secara berdepan dengan golongan yang ditentang sebelum ini.
Berdakwah di mana-mana saja
“Viral gambar saya dengan dua individu dalam sebuah acara tertutup baru-baru ini. Ceritanya, saya dijemput untuk baca doa berbuka puasa dan tazkirah Ramadan sebelum berbuka puasa.
“Saya hadir dengan niat menyampaikan dakwah dan menyempurnakan tugas saya secara face to face (bersemuka) lalu membaca doa agar Allah menerima segala amal kebaikan kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.
“Ini peluang untuk menyampaikan dakwah secara berhadapan. Saya tahu kesan fitnah sangat besar. Tapi kalau bukan waktu itu, bila lagi nak beri tazkirah secara berdepan dengan golongan yang saya lawan sebelum ini,” katanya.
Kata A Kadir apa yang dilakukan PU Amin itu adalah betul dan niatnya baik iaitu untuk menyebarkan dakwah dan menyempurnakan tugasnya secara bersemuka.
"Setidak-tidaknya pun kita memperkenalkan agama kita kepada mereka. Lebih-lebih lagi dalam suasana Islam digambarkan dengan gambaran yang salah sehingga menimbulkan ketakutan dan kebencian.
"Salah satu strategi mubaligh Kristian ialah supaya penganut agama-agama lain tidak memusuhi mereka. Kita pun tentu tidak mahu agama kita dimusuhi," katanya.
Berbanding tanggapan orang ramai di negara ini terhadap pendakwah Islam, katanya, mubaligh Kristian pula berdakwah dengan sesiapa saja dan di mana-mana yang dirasakan boleh.
"Kalau di bandar-bandar besar di Amerika Syarikat, kegiatan mendakwah dilakukan oleh semua agama - termasuk Islam - secara terbuka di tempat-tempat awam," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai