Dasar baru pelaburan dibentang ke kabinet Rabu ini
Kertas Kabinet mengenai dasar baru pelaburan negara untuk menarik lebih ramai pelabur berkualiti ke negara ini akan dibentang kepada kabinet pada Rabu ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata dasar baru itu dirangka dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan dijangka dilaksanakan serta-merta.
"Dasar yang akan diperkenalkan ini memberi tumpuan kepada bidang inovasi, teknologi dan digital. Malah dalam lawatan kerja saya ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru ini, mereka turut menyambut baik pelaksanaan dasar pelaburan baru itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas solat tarawih bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves dekat Gombak, malam tadi.
Mohamed Azmin berkata dasar baru itu juga sejajar dengan garis panduan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Mengenai pelaburan baru syarikat gergasi teknologi global Microsoft di negara ini, beliau berkata ia adalah bukti pelabur asing masih yakin untuk melabur di Malaysia dan menjadi hab utama pelaburan mereka.
"Justeru negara juga perlu bersedia untuk menyediakan dan mengetengahkan tenaga kerja dan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri ini," katanya.
Semalam negara menyaksikan kerjasama dengan syarikat itu dengan pelaburan asing berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi penubuhan pusat data serantau yang pertama di Malaysia.
Pelaburan itu dijangka berupaya menjana pendapatan baru kira-kira AS$4.6 bilion (RM19 bilion) selain membantu mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan teknologi maklumat untuk rakyat tempatan.
Ditanya mengenai tindakan ahli parlimen pembangkang bercadang menghantar surat kedua kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan baginda menerima petisyen rayuan menamatkan darurat hari ini, Mohamed Azmin berkata pembangkang sepatutnya memanfaatkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang turut dianggotai pembangkang, sebagai saluran untuk berbuat demikian.
"Sepatutnya mereka (pembangkang) gunakan jawatankuasa khas ini yang tidak dipengaruhi oleh pihak eksekutif dan jawatankuasa ini beri maklum balas terus kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai