Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MBSA 'selamatkan' lebihan makanan di bazar Ramadan

Sebanyak 42.1kg makanan tak terjual di bazar Ramadan Shah Alam 'diselamatkan' di hari pertama inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam yang bertujuan mengurangkan pembaziran.

Selain itu, sebanyak 16.4 liter minuman tidak terjual juga berjaya dikumpulkan, menerusi program ‘Food Waste Management - Food Rescue’ yang bermula di tapak bazar Ramadan Seksyen 17 di Shah Alam, Selangor, semalam.

“Tujuan program ini dijalankan bagi mengelakkan pembaziran makanan sekaligus dapat mengurangkan sisa makanan yang dihantar terus ke tapak pelupusan,” kata MBSA dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut MBSA lagi, lebihan makanan dan minuman tersebut kemudian diedarkan kepada golongan yang memerlukan manakala sisa organik lain dijadikan bahan kompos.

Program ini diadakan dengan kerjasama NGO WWF Malaysia, Pemuda GEMA, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Kelab Harmoni Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebelum ini, NGO Food Aid Foundation menanggarkan sebanyak 25 hingga 35 peratus makanan terbuang setiap hari di bulan Ramadan adalah dari bazar Ramadan.

Ini kerana para peniaga cenderung memiliki mentaliti "hanya memasak dan mengharapkan semuanya terjual", kata pengarah operasi Food Aid Foundation Hayati Ismail dipetik the New Straits Times.

Menurut Oriental Daily pula, Statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pula menunjukkan kira-kira 20,000 tan makanan dibuang oleh restoran dan hotel setiap minggu dalam bulan Ramadan.