Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pendakwaan: Jho Low, 2 yang lain berkhidmat untuk 'bos sama' iaitu Najib

Ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho dan dua lagi individu berkhidmat untuk “bos yang sama”, iaitu Najib Razak, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram berkata demikian dalam hujah balasnya terhadap hujah pasukan pembelaan Najib bahawa bekas perdana menteri itu tidak tahu mengenai pemindahan RM42 juta ke akaun banknya.

Semasa perbicaraan kes rasuah RM42 juta SRC di Mahkamah Tinggi pada Januari tahun lepas, Najib dalam keterangannya berkata bekas ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias, bekas CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan Low ditugaskan untuk menguruskan akaun-akaun banknya.

Bagaimanapun, Najib bertegas yang dia tidak tahu tentang RM42 juta yang dimasukkan ke akaunnya menerusi tiga transaksi antara akhir 2014 dan awal 2015.

Semasa perbicaraan tersebut, pembelaan oleh pasukan peguam Najib adalah bahawa Low, yang dikenali sebagai Jho Low, dan beberapa individu lain telah melakukan transaksi membabitkan akaun-akaun miliknya tanpa pengetahuan dirinya.

Pasukan pendakwaan pula berhujah bahawa Low hanya bertindak atas arahan Najib.

Pendengaran di Mahkamah Rayuan ini adalah mengenai permohonan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya, atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

Sebagai hujahan balas terhadap permohonan Najib itu, Sithambaram berkata bahawa pertikaian antara pihak pembelaan dan pendakwaan akhirnya membawa kepada kenyataan bahawa Low hanyalah menerima arahan daripada Najib.

Sithambaram

Katanya, ini kerana semasa perbiaraan, Najib telah pun mengakui bahawa Low, Azlin dan Nik Faisal ditugaskan untuk menguruskan akaun-akaun bank miliknya supaya tiada cek daripada akaun bank tersebut ditendang.

"Kalau pun Jho Low berada di belakang tabir, ia tak membawa apa-apa perbezaan. Memandangkan mereka (Low, Azlan dam Nik Faisal) semua bekerja untuk bos yang sama (Najib), bos besar (ultimate boss)," hujah Sithambaram.

Hal itu, katanya, dikuatkan lagi dengan fakta bahawa Nik Faisal merupakan pemegang mandat yang dilantik Najib untuk menguruskan akaunnya.

Hujah Sithambaram lagi, Nik Faisal, bersama Azlin dan beberapa yang lain, adalah sebahagian daripada perancangan terperinci oleh Najib untuk menyelewengkan wang daripada SRC.

Antara lain yang dipetiknya ialah bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling dan pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Shamsul Anwar Sulaiman.

Ung dan Shamsul telah memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan semasa perbicaraan kes SRC di mahkamah tinggi sebelum ini.

Pasukan pendakwaan berpendapat bahawa RM42 juta daripada dana SRC itu masuk ke akaun Najib menerusi laluan yang berbelit-belit, membabitkan IPSB serta entiti-entiti lain.

"Tak ada bukti yang menunjukkan mereka menerima sebarang manfaat peribadi dalam perancangan ini tetapi (mereka) digunakan sebagai bidak oleh perayu (Najib), untuk memasukkan RM42 juta daripada SRC ke akaun bank peribadinya," kata Sithambaram.

Pihak berkuasa Malaysia masih cuba untuk menjejak keberadaan Nik Faisal dan Jho Low.

Pendengaran di Mahkamah Rayuan akan bersambung esok di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil.

Hakim lain ialah hakim Mahkamah Rayuan Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.

Namun, mahkamah membenarkan permohonan pasukan peguam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan bagi membatalkan hukuman tersebut.

SRC merupakan bekas anak syarikat 1MDB dan kemudian menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Selain merupakan bekas perdana menteri, Najib juga bekas menteri kewangan, bekas penasihat emeritus SRC dan bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

[Baca laporan asal]