Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin Umno kecam Faiz Na'aman, sifatkannya 'anjing salakan politik'

Pemimpin Umno tampil membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dianggap biadab kerana menyifatkan pemimpin "kluster mahkamah' Umno sebagai "binatang politik".

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah berkata kenyataan pemimpin Bersatu itu sebagai "anjing salakan politik".

"Sikap kurang ajar beliau yang mengeluarkan kenyataan populis boleh akibat hura-hara politik negara ibarat seekor 'anjing salakan politik'.

"Tindakan 'barking dog' MPT Bersatu Muhammad Faiz Na'aman amat memalukan dan dilihat kurang bijak walaupun akan ada yang menganggapnya sebagai hak dan kebebasan bersuara, namun sedemikian ia tidak sewajarnya berlaku malah harus belajar menghormati kepimpinan Umno yang membantu membina kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya ingin minta Muhyiddin Yassin mengambil tindakan atas keceluparan kenyataan yang beliau keluarkan. 'Anjing salakan' ini harus faham dan terima kenyataan penubuhan kerajaan PN ini adalah kerana sokongan Umno, tanpa sokongan Umno tidak mungkin presiden Bersatu boleh menjadi perdana menteri Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Faiz melabel “Kluster Mahkamah” Umno sebagai binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.

“Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.

“Mereka menjadikan wadah ‘ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataa, hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli MT Umno, Razlan Rafii turut menyelar kenyataan Muhammad Faiz yang menurutnya bukan saja biadab, namun cukup keterlaluan.

Membalas kenyataan itu, Razlan mengingatkan pemimpin Bersatu itu bahawa parti serpihan itu "kandang kepada binatang politik" yang kehilangan tuan.

"Bagi saya ini satu kenyataan yang cukup biadab dan kurang ajar, Muhammad Faiz ini seorang pemimpin yang tidak sedar diri.

"Sebelum mengeluarkan kenyataan biadab, dia harus sedar bahawa kerajaan PN terbentuk dengan sokongan Umno.

"Bahkan lebih daripada itu, Bersatu juga dikuatkan dengan bekas pemimpin Umno yang lari melompat parti selepas BN tewas, jadi Muhammad Faiz sepatutnya sedar diri," katanya.

Menurut Razlan lagi, pemimpin kluster mahkamah itu juga yang turut membantu menegakkan kerajaan PN.