Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

2,078 kes baru, jangkitan kekal tinggi di Sarawak dan Kelantan

Terdapat 2,078 kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Kes baru di Selangor, yang sekian lama menjadi negeri utama penularan wabak, stabil dengan 457 kes baru.

Bagaimanapun kes baru di Sarawak dan Kelantan kekal tinggi berbanding minggu-minggu sebelumnya.

Sarawak sekali lagi menjadi negeri dengan kes baru tertinggi sebanyak 589 kes.

Kelantan pula mencatatkan 290 kes baru. Ia merupakan jumlah kedua tertinggi yang pernah dilaporkan di negeri itu.

Sebanyak 29.45 peratus jangkitan (612 kes) dilaporkan di Lembah Klang, manakala 34.65 peratus jangkitan (720 kes) dilaporkan di Malaysia Timur.

Warga tempatan merangkumi sebahagian besar jangkitan hari ini, iaitu sebanyak 1,885 kes (91.3 peratus).

Kes aktif pula melebihi paras 20,000 buat kali pertama sejak 7 Mac.

Jumlah kes aktif kekal di paras 14,000 untuk 23 hari berturut-turut tetapi bermula 10 April, ia mula meningkat kepada 15,059 hinggalah 20,522 hari ini.

Maklumat utama wabak Covid-19 hari ini:

  • Kes sembuh : 1,402
  • Kes aktif : 20,522
  • Pesakit di ICU: 228
  • Pesakit dengan bantuan pernafasan: 93
  • Kematian: 8 (jumlah setakat ini - 1,386)

Kes kematian hari ini melibatkan tiga pesakit di Sarawak, masing-masing dua pesakit di Selangor dan Sabah, serta seorang pesakit di Kuala Lumpur.

Seorang pesakit yang meninggal dunia adalah lelaki berusia 35 tahun, yang meninggal dunia di Hospital Sibu, Sarawak. Pesakit mempunyai latar belakang penyakit gout dan obesiti.

Kesemua kes kematian lain melibatkan pesakit berusia 55 hingga 89 tahun yang mengalami komorbiditi, kecuali seorang lelaki berusia 81 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh yang tidak mengidap sebarang penyakit lain.

Layari laman penjejak Covid-19 Malaysiakini bagi perincian lanjut kes kematian.

Berikut jumlah kes baru mengikut negeri:

  • Sarawak (589)
  • Selangor (457)
  • Kelantan (290)
  • Kuala Lumpur (153)
  • Sabah (125)
  • Johor (115)
  • Negeri Sembilan (91)
  • Pulau Pinang (91)
  • Kedah (48)
  • Perak (43)
  • Pahang (32)
  • Melaka (27)
  • Terengganu (8)
  • Labuan (6)
  • Putrajaya (2)
  • Perlis (1)

14 kluster baru

Dalam pada itu, KKM memaklumkan terdapat 14 lagi kluster baru yang dikenal pasti hari ini.

Ia melibatkan satu kluster keagamaan, tiga kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan enam kluster pendidikan, termasuk satu kluster sekolah/institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).

Bagi kluster pendidikan, tiga daripadanya di Kelantan, dan masing-masing satu di Sabah, Johor dan Kedah.

Untuk rekod, semua sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM di tujuh daerah yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kelantan telah diarahkan tutup bermula semalam hingga 24 April.

Sebanyak 12 kluster lagi diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif pada masa ini sebanyak 340 kluster.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.