Keputusan tutup sekolah dibuat bersama PKD, KPM dan k'jaan negeri
Keputusan berkenaan penutupan sekolah berikutan kes Covid-19 adalah berdasarkan penilaian bersama Pejabat Kesihatan Daerah dengan Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Dr Adham berkata penilaian itu mengambil kira antaranya bilangan kakitangan dan murid sekolah yang terpaksa menjalani kuarantin atau Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) setelah disahkan positif Covid-19.
“Bagaimanapun, jika melibatkan anak murid tetapi kakitangan sekolah tidak terlibat, kita boleh buka sekolah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Vaksinasi Covid-19 ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ Peringkat Daerah Tangkak, di Tangkak, Johor hari ini.
Dia berkata demikian ketika ditanya jika ada sekolah lain yang dicadangkan Kementerian Kesihatan supaya ditutup berikutan peningkatan kes Covid-19 di sekolah-sekolah berkenaan.
Ini susulan arahan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan agar semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri itu ditutup bermula hari ini hingga 24 April depan.
Sementara itu, Dr Adham berkata seramai 9,916 penduduk berumur 75 tahun ke atas dijadualkan menerima suntikan vaksin Covid-19 apabila fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula esok.
Mereka akan menerima suntikan itu di 30 pusat pemberian vaksin di seluruh negara, iaitu masing-masing lima di Kedah, Pahang dan Pulau Pinang, empat di Sabah, masing-masing tiga di Terengganu dan Melaka, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Perlis, Sarawak dan Labuan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai