Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SOP Haji: Hasil perbincangan dengan Arab Saudi akan dibawa ke MKN, KMM

Hasil perbincangan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) bersama pihak berwajib di Arab Saudi berkaitan ibadah haji dan umrah akan dibawa kepada perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad.

Zulkifli berkata setakat ini, Arab Saudi masih belum membuat sebarang keputusan mengenai ibadah haji dan umrah musim ini.

"Namun syarat terpenting pada masa ini adalah vaksin. Sebahagian negara Islam tidak mempunyai sistem pengawasan dan kawalan Covid-19 yang telus dan teratur dan ini menyebabkan Arab Saudi sangat berhati-hati membuat apa-apa keputusan terhadap pelaksanaan ibadah haji.

"Insya-Allah berdasarkan kepada pertemuan kami di Arab Saudi, segala perbincangan SOP akan diangkat ke MKN dan KKM secara rasmi untuk diperhalusi dan diluluskan...kami mengharapkan kita semua bersiap siaga jika ditakdirkan dapat melaksanakan ibadah haji tahun ini untuk memenuhi segala bentuk syarat dan SOP yang telah ditetapkan," katanya kepada media Malaysia di Mekah, hari ini.

Dia mengulas pertemuannya dengan Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdel Fattah Mashat di sana, pada Sabtu.

Pada sidang media itu, Zulkifli juga berkata Arab Saudi sedang bertungkus lumus membuat persiapan bagi menghadapi musim haji tahun ini.

“Kementerian Kesihatan Arab Saudi belum menentukan jenis vaksin bagi jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun ini.

“Setakat ini, pemberian vaksin di Arab Saudi telah mencapai 70 peratus bersamaan hampir enam juta penduduk di negara itu dan mereka hanya mengiktiraf vaksin Covid-19 jenama Pfizer–BioNTech dan AstraZeneca,” katanya.

Zulkifli menjelaskan bahawa Arab Saudi tidak mahu ibadah haji menjadi punca tersebarnya Covid-19 di seluruh dunia dan turut memandang serius berkenaan trend peningkatan kes Covid-19 ketika Ramadan di negara itu.

Zulkifli kini berada di Arab Saudi dalam rangka lawatan kerja sehingga 18 April bagi mendapatkan perincian prosedur operasi standard (SOP) ibadah haji pada tahun ini.

-Bernama