Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Iklan judi raya: Polis buru sindiket utama upah syarikat produksi

Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat memburu sindiket utama yang menggajikan syarikat produksi untuk pembikinan dua video hari raya, yang mempromosi iklan perjudian secara dalam talian.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Dev Kumar berkata siasatan awal mendapati dua video mempromosi perjudian secara dalam talian yang tular di media sosial itu adalah daripada produksi yang sama.

"Kita akan kesan siapa syarikat yang gajikan syarikat produksi ini untuk menerbitkan kedua-dua video tersebut.

"Setakat ini, kita hanya tahan penerbit dan para pelakon. Mereka adalah pengantara dan selepas itu barulah kita boleh dapatkan sindiket atau individu yang bertanggungjawab terlibat dengan syarikat produksi ini untuk menerbitkan video tersebut," katanya dalam sidang media mengenai iklan promosi judi bertemakan Aidilfitri di Putrajaya hari ini.

Turut serta ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan CEO Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Dev berkata setakat ini, 13 individu termasuk penerbit dan pelakon telah ditahan bagi membantu siasatan pembikinan kedua-dua video yang mempromosikan judi dalam talian itu.

Sembilan individu ditahan selepas video pertama tular manakala empat lagi ditahan selepas video kedua dikeluarkan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya.

Sementara itu, Fadhlullah berkata tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati masih berdegil dengan memuat naik video tersebut di mana-mana platform media sosial untuk apa-apa tujuan tertentu.

"Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan semula kedua-dua video tersebut kerana ia bukanlah satu kandungan yang baik," katanya.

Sejak Jumaat, tular dalam media sosial mengenai penyiaran iklan yang mengajak umat Islam di dalam negara berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Aidilfitri, dan SKMM sedang menggiat usaha menurunkan kandungan berkenaan dengan kerjasama penyedia platform seperti Facebook, Twitter dan YouTube.

Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata empat individu yang merupakan pelakon dalam video kedua hari raya yang mempromosi iklan perjudian ditahan semalam. Mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 24 dan 32 tahun itu ditahan di sekitar Ampang petang semalam.

Kesemua mereka direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu.

"Pelakon empat orang (untuk) video kedua (judi dalam talian) ini menerima upah kira-kira RM200 seorang. Upah video kedua ini, mahal sedikit berbanding pelakon video pertama iaitu RM180," katanya kepada Bernama hari ini.

-Bernama