Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Video judi raya: Pelakon jangan beri alasan tiada tawaran kerja - Menteri

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menasihati para pelakon untuk lebih berhati-hati dan tidak memberikan alasan tiada tawaran kerja sehingga sanggup menerima tawaran tidak sepatutnya seperti video berunsur perjudian seperti yang berlaku baru-baru ini.

Kata Saifuddin, meskipun negara masih dilanda Covid-19, sejak penggambaran dibenarkan semula, industri lakonan tanah air mengalami kembali aktif dengan menawarkan banyak peluang kerja buat pelakon dan kru.

“Saya rasa dunia seni budaya sekarang tidak kekeringan kerja untuk drama, filem dan sebagainya.

“[...] Saya rasa, ini musim yang mungkin jarang berlaku dalam sejarah, di mana kita ada begitu banyak penggambaran, atau pun izin penggambaran yang sedang berlaku. Maknanya ada banyak job (tawaran kerja).

“Jadi, saya harap janganlah sampai ada alasan tak ada job,” katanya dalam sidang media di bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Putrajaya hari ini.

Katanya, KKMM sendiri menganjurkan pelbagai program bagi mengencangkan industri hiburan, selain tidak lupa juga menjaga kebajikan artis melalui program ziarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), program turun padang dan sebagainya.

Siapa dalang upah produksi?

Sidang media itu turut dihadiri pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek; Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dev Kumar; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Dua video raya yang mengiklankan aktiviti perjudian mencetuskan kekecohan orang ramai. Ini selepas penyiaran iklan judi dalam bulan Ramadan dan mempunyai lirik lagu yang mengajak penganut Islam untuk berjudi sebagai persediaan menghadapi hari raya.

Video pertama berdurasi 2.48 minit itu tular kelmarin, manakala video kedua berdurasi 2.42 minit pula tersebar pagi semalam.

Polis telah mengesahkan video pertama dan kedua iklan promosi judi itu adalah daripada produksi yang sama.

Siasatan polis mendapati pelakon video itu dibayar RM180 seorang.

Untuk rekod, aktiviti penggambaran dibenarkan semula pada Feb lalu, namun hanya tertakluk pada praproduksi penggambaran dan penggambaran di studio, untuk kawasan yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ia dilonggarkan pada bulan lalu, penggambaran di lokasi terbuka turut dibenarkan di kawasan perintah PKP bersyarat dan PKP pemulihan (PKPP).

Kenyataan Saifuddin itu turut disokong Ahmad Idham.

CEO Finas itu berkata sejak penggambaran dibenarkan semula, Finas telah mengeluarkan lebih 200 sijil perakuan penggambaran (SPP) kepada rumah produksi bagi memulakan penggambaran mereka.

“Hari ini, pelakon dapat tawaran kerja tak putus-putus (back to back job), kru-kru pun begitu,” kata Ahmad Idham.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini, Dev Kumar memberitahu setakat ini, sebanyak sembilan tangkapan telah dibuat untuk video pertama, manakala empat lagi dibuat untuk video kedua.

Disoal sama ada pihak utama yang membiayai untuk penerbitan video itu sudah dikenal pasti atau tidak, kata Dev Kumar, siasatan belum lagi sampai ke tahap itu.

“Kita tidak pasti. Kita belum sampai ke tahap itu. Sekarang baru di peringkat pelakon, produksi penerbitan.

“Akhirnya kita akan sampai ke peringkat mengetahui siapa pihak utama, yang menggajikan penerbit untuk menghasilkan video itu. Kita belum sampai lagi,” katanya.

Semalam, pelakon terkenal, Bront Palarae mempersoalkan tindakan polis menahan pelakon dan kru video berkenaan, sedangkan katanya, punca sebenar kekecohan itu adalah pemilik judi dalam talian dan pihak yang membayar upah untuk pembikinan video itu.

Kenapa tahan yang diupah? Punca masalah ialah yang mengupah (pelanggan atau pemilik jenama),” ciapnya di Twitter.