Gerakan nak bertanding lebih banyak kerusi PRU15
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyuarakan hasrat meletak jumlah calon lebih ramai untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding ketika menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata hasrat itu bersesuaian dengan peranan parti berkenaan yang mewakili suara bukan bumiputera di bawah Perikatan Nasional (PN).
"Kalau kita anggap PN bertanding untuk 222 kerusi, jadi memanglah Gerakan mahu bertanding lebih kerusi daripada semasa dalam BN sebab peranan yang kita mainkan untuk kerusi majoriti bagi bukan Islam, bukan bumiputera.
"Bagaimanapun, kita tak boleh lupa bahawa dalam PN ada sayap bersekutu yang mengandungi parti bukan Melayu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan di Kuala Lumpur hari ini.
Pada PRU14 lepas, Gerakan tewas di kesemua 22 kawasan Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya di bawah logo BN. Susulan itu parti berkenaan mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun 2018 .
Pada 11 Feb lepas, parti tersebut secara rasmi diterima menganggotai gabungan PN.
Sementara itu, Lau berkata semua pimpinan parti negeri diarah untuk mewujudkan 'war room' bagi persiapan menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan setelah situasi pandemik COVID-19 di negara ini reda.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai