Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penuntut Nigeria didakwa tipu guru besar untuk tuntut 'pusaka' RM2.4j

Seorang penuntut warga Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru hari ini atas 24 pertuduhan menipu seorang guru besar wanita membabitkan kerugian berjumlah RM141,262 berhubung tuntutan harta pusaka bapa tertuduh bernilai RM2.4 juta yang tidak wujud.

Bagaimanapun, Nwaokorie Chikezi Patric, 41, yang merupakan penuntut diploma pelancongan di sebuah kolej swasta mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan hakim Nurul Mardhiah Mohammed Reza yang bertindak sebagai majistret.

Mengikut 24 pertuduhan itu, Nwaokorie didakwa bersama seorang yang masih bebas telah menipu seorang guru besar berusia 59 tahun dengan memperdaya wanita itu untuk memasukkan wang berjumlah RM141,262 ke sebuah akaun bank atas nama Adzatul Natasyah Adnan, 27, melalui pindahan dalam talian kononnya bagi menuntut harta pusaka bapa tertuduh.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah di Kuala Kubu Baru antara 4 Feb dan 4 Mac lalu. 

Nwaokorie didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Yong Ching Hong memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan atas alasan tertuduh adalah warga asing.

“Mohon syarat tambahan dikenakan kepada tertuduh iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan,” katanya.

Peguam M Tharuma Ratnam yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan rendah kerana kes itu melibatkan mangsa dan modus operandi yang sama.

“Selain itu, anak guam saya berkahwin dengan rakyat Malaysia dan mempunyai dua anak.

"Dia juga memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM72,000 dengan dua warga tempatan sebagai penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Nwaokorie juga diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Nurul Mardhiah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

- Bernama