Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sektor perbankan negara kekal kukuh meskipun Citigroup berhasrat keluar

Industri perbankan Malaysia dijangka kekal teguh dan tidak terkesan dengan hasrat Citigroup Inc untuk keluar daripada francais penggunanya di 13 pasaran, termasuk Malaysia.

12 perniagaan francais pengguna lain adalah di Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Ketua Penyelidik MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Imran Yassin Md Yusof berkata langkah Citigroup itu lebih kepada kes terpencil dan ia berikutan strategi keseluruhan yang diambill syarikat tersebut bukannya disebabkan sebarang bentuk aliran industri.

“Malah, tindakan itu mungkin meredakan sedikit landskap kompetitif dalam sektor ini, namun sama ada ini akan mendorong aliran penggabungan dalam industri, kami yakin ini tidak benar.

“Selain itu, ia amat bergantung kepada strategi bank-bank secara individu, minat risiko dan penilaian pasaran Malaysia berbanding aspek-aspek lain,” katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, Citigroup mengumumkan tindakan strategiknya untuk mengendalikan francais perbankan pengguna di Asia, Eropah, Timur Tengah dan Afrika hanya dari empat pusat pengurusan kekayaan iaitu Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan London.

Mengulas lanjut, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat langkah keluar Citigroup itu juga didorong oleh keperluannya untuk kekal relevan di samping mengekalkan kelebihan kos pada kadar munasabah dalam persekitaran yang mencabar susulan landskap ekonomi dan ekosistem pengawalseliaan.

“Perkembangan teknologi telah membolehkan proses transaksi menjadi lebih mudah dengan tahap keselamatan dan produktiviti lebih tinggi yang benar-benar memenuhi tujuannya.

“Oleh yang demikian, bank-bank mampu untuk menawarkan produk khusus berasaskan keperluan pelanggan, yang mana dalam situasi ini ia adalah pengurusan kekayaan,” katanya.

Beliau berpandangan pandemik secara jelas telah menimbulkan cabaran namun pada masa sama ia membuka peluang untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

Memahami keperluan pelanggan merupakan kepentingan paling utama dan ia akan menjadikan bank-bank secara individu memiliki kelebihan berbanding yang lain, katanya.

Mohd Afzanizam berkata pelanggan pada masa kini lebih bijak dan akan meminta lebih banyak nasihat terutama mengenai bagaimana pihak bank boleh membantu dalam mencapai matlamat kewangan mereka.

“Oleh itu, wajar untuk menumpukan produk dan perkhidmatan berkaitan pengurusan kekayaan, malah mempunyai cawangan fizikal mungkin bukan lagi satu prasyarat untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

“Saya berpandangan ini menjadi pertimbangan penting Citigroup dalam membuat keputusannya. Ia adalah mengenai menentukan keseimbangan di antara kos dengan perolehan secara paling praktikal,” katanya.

- Bernama