Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

#KerajaanGagal sohor di Twitter

Gara-gara kecewa akan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan tidak cekap mengendali isu seperti Covid-19 dan ekonomi negara, pengguna Twitter mewujudkan tanda pagar #KerajaanGagal.

Tanda pagar itu telah sohor bermula awal pagi tadi dan sejak 2.30 petang, sejumlah 60,000 ciapan menggunakan tanda pagar itu.

Perkembangan itu hadir ketika kerajaan dilihat gagal menangani penularan Covid-19 dengan kes harian kekal empat digit sejak bermulanya gelombang ketiga September tahun lalu - gelombang jangkitan yang juga dikaitkan dengan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Pada 8 Julai 2020 satu Malaysia pernah dapat telur ini (tiada kes Covid-19) tetapi semuanya berubah selepas kerajaan PN buat PRN Sabah yang melihat peningkatan kes.

“Dan kini dengan empat digit jumlah harian tanpa sebarang tindakan oleh kerajaan kurangkan kes. Sangat menyedihkan! Ini menunjukkan #KerajaanGagal,” kata pengguna akaun Twitter @alsfarhan.

 

PRN Sabah diadakan pada 26 September tahun lalu selepas cubaan bekas menteri Musa Aman untuk merampas kuasa pentadbiran dari kerajaan Warisan pada ketika itu.

Hal ini menyebabkan, presiden Warisan yang juga ketua menteri Sabah ketika itu, Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi mengadakan PRN.

Pada bulan sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan negara sedang berdepan gelombang ketiga jangkitan dengan peningkatan kes antara lain dikaitkan dengan individu yang pulang dari Sabah.

Peningkatan kes Covid-19 dilihat turut membangkitkan amarah rakyat kerana ia membawa halangan kepada masyarakat untuk pulang ke kampung, menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Malah ia turut menjejaskan ekonomi pelancongan dalam negara.

Ciapan bersama tanda pagar #KerajaanGagal turut ditujukan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah dia menyatakan bahawa kerajaan kini kekurangan wang kerana telah berbelanja lebih RM600 juta menerusi Belanjawan 2021.

Namun, badan pemikir Research for Social Advancement (Refsa) menyifatkan kenyataan perdana menteri itu berlebih-lebihan kerana suntikan fiskal negara sebenarnya cuma RM72.6 bilion atau hanya 21.4 peratus daripada pakej rangsangan.

Terbaru, pelantikan timbalan menteri pelancongan dan seni budaya hari ini turut menambah bara akan kemarahan orang ramai.

Sementara itu, penggunaan tanda pagar #KerajaanGagal turut merujuk pada isu peningkatan harga barang, gaji rendah, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikatakan bersifat dua darjat, selain proses vaksinasi yang didakwa agak perlahan.