Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | ‘Tuhan’ juga milik eksklusif orang Islam?

[Nota: Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abg Shokeran ketika dihubungi Malaysiakini berkata akan meneliti perkara ini terlebih dahulu dan memberi penjelasannya selepas ini.]


Sementara orang Tamil sedang berbalah tentang tarikh sebenar sambutan tahun baharu (Januari atau April), isu “Keling” masih berlarutan, dan polemik “Allah” belum selesai, nampaknya ada usaha lain sedang dilakukan pihak tertentu secara penuh licik untuk memperlekeh hak beragama orang bukan Islam di Malaysia.

Saya mendapat gambaran demikian selepas membaca cerpen-cerpen yang terkandung dalam antologi Meredah Kabus (2021) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beberapa hari lalu.

Antologi berkenaan memuatkan cerpen oleh penulis pelbagai kaum, agama, dan latar budaya. Kebanyakannya penulis muda yang dibimbing oleh Azmah Nordin, penerima SEA Write Award (2009) yang bermastautin di Sabah sejak tahun 1973.

Saya tahu bahawa Azmah Nordin berusaha menggilap bakat baharu selain menggalakkan mereka mengetengahkan budaya komuniti masing-masing dalam karya demi memperkaya khazanah sastera kebangsaan, iaitu karya bahasa kebangsaan yang menggambarkan realiti budaya dan pemikiran masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di Malaysia.

Bagaimanapun, pembacaan saya terganggu kerana setiap kali penulis bukan Islam memperkatakan “Tuhan”, ia ditukar kepada “tuhan” (huruf kecil). Contohnya:

Mala juga sentiasa diingatkan untuk berdoa dan berterima kasih kepada tuhan. (Hlm 10)

Semoga tuhan melindungi John daripada sebarang bencana. (Hlm 63)

Dengan keizinan tuhan, Sangeetha dipertemukan dengan Madam Ivy. (Hlm 223)

Letchumi sempat berdoa agar dirinya dilindungi tuhan. (Hlm 231)

Inilah balasan tuhan terhadap dosa yang aku telah lakukan terhadap kalian. (Hlm 236)

Oh, tuhanku! (Hlm 251)

Dalam hal Zohra, dia bertambah yakin dengan kuasa tuhan dan karma. (Hlm 323)

Antara penggunaan kata "tuhan" dalam antologi dirujuk

Saya mengenali Azmah Nordin sejak tahun 1990-an dan karya kami sering sama-sama termuat dalam pelbagai antologi cerpen selenggaraan Dr Othman Puteh. Setahu saya, Azmah Nordin menggalakkan para penulis antologi Meredah Kabus mengangkat budaya dan jati diri komuniti.

Saya yakin sepenuhnya bahawa Azmah Nordin tahu penggunaan “Tuhan” (huruf besar) adalah betul dan beliau tidak mungkin menukarnya kepada “tuhan” (huruf kecil) dalam manuskrip para penulis terbabit.

Saya turut menghubungi beberapa penulis berkenaan dan mereka mengesahkan bahawa mereka sebenarnya menulis “Tuhan” tetapi telah ditukar kepada “tuhan” sebelum buku terbit.

Maka, ternyata penulis, pembimbing, dan penyelenggara menggunakan “Tuhan” tetapi pihak penerbit menukarnya kepada “tuhan” dengan penuh sedar.

Isu mengenai “Tuhan” dan “tuhan” pernah timbul semasa saya dilantik menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid pada tahun 2011.

Antara saranan dan desakan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) adalah supaya “tuhan” dalam novel Interlok (2010) dibetulkan kepada “Tuhan” sebelum dicetak semula.

Tambahan pula, dalam versi asal novel Interlok (bawah) tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain, memang “Tuhan” (huruf besar) digunakan. Anehnya, apabila mahu dijadikan teks Komsas bagi bacaan pelajar sekolah, setiap kali melibatkan watak bukan Melayu (bukan Islam), “Tuhan” ditukar kepada “tuhan” tetapi dikekalkan sebagai “Tuhan” jika melibatkan watak Melayu (Islam).

Apabila sikap pilih kasih itu saya ketengahkan dalam mesyuarat panel, ahli lain dalam panel itu berkata, jika mahu mengekalkan kata nama khas “Tuhan” (huruf besar) melibatkan watak-watak bukan Islam dalam novel Interlok: Edisi Murid, maka perlu dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)!

Nampaknya, bukan hanya istilah “Allah” dijadikan milik eksklusif orang Islam di Malaysia, malah “Tuhan” juga mahu diwartakan sebagai milik khusus orang Islam. Dikatakan bahawa “Tuhan” (huruf besar) hanya layak digunakan bagi Allah.

Saya menganggap perbuatan ini sebagai usaha licik dan terancang untuk memperlekeh dan menafikan hak beragama orang bukan Islam sedangkan hak itu termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan cerpen sulung saya, Orang Dimensi diterbitkan DBP pada 1994, diikuti Siru Kambam (1996), dan Surat Dari Madras (1999). Dalam ketiga-tiga buku itu digunakan “Tuhan” tanpa sebarang masalah. Tentu sahaja saya tidak mengizinkan “Tuhan” dalam manuskrip saya ditukar kepada “tuhan”.

Masyarakat awam yang baru-baru ini sibuk mengkritik kehadiran istilah “Keling” dalam Kamus Dewan nampaknya tidak menyedari usaha subversif yang seolah-olah sedang digerakkan secara penuh licik untuk menghina dan memperlekeh anutan agama dan kepercayaan mereka (Bukan Islam) kepada Tuhan.

Sekiranya kita melakukan semakan, dalam Kamus Pelajar (1988) hanya ada entri “Tuhan”. Manakala dalam Kamus Dewan (2005) dan Kamus Dewan Perdana (2020) diberi takrif berbeza bagi “Tuhan” dan “tuhan”.

“Tuhan” dikatakan merujuk secara eksklusif kepada Allah, manakala “tuhan” merujuk kepada “sesuatu yang dipuja oleh golongan manusia yang agama atau kepercayaan mereka tidak berasaskan kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa”.

Prinsip pertama dalam Rukun Negara ialah “Kepercayaan kepada Tuhan”. Adakah Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 dengan tujuan utama “membentuk perpaduan yang kukuh” dan menjadi “kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum” hanya merujuk kepada Allah dengan penggunaan istilah “Tuhan”?

Sebagai seorang penganut Hinduisme (Sanatana Dharma), saya mahu menegaskan bahawa agama Hindu adalah agama yang memperakukan Tuhan Yang Esa. Sesiapa yang meragui fakta ini boleh merujuk kitab-kitab Veda dan juga Bhagavad Gita. Sikhisme juga agama monoteistik yang memperakukan Waheguru sebagai Tuhan universal iaitu Tuhan Yang Esa.

Maka, sebagai seorang individu yang beragama dan bertuhan, saya tidak membenarkan dan tidak akan menerima tindakan mana-mana pihak memperlekeh dan menghina penganut Kristian, Hindu, Sikh, Buddha, dan agama-agama lain dengan mengatakan mereka hanya boleh diiktiraf menyembah “Tuhan” jika mereka menyembah Allah.

Sekiranya diteliti, tindakan licik ini seolah-olah dilakukan secara senyap dan terancang oleh pihak tertentu untuk melunturkan keyakinan dan jati diri penduduk bukan Islam terhadap amalan dan hak beragama yang sebenarnya dijamin dan dilindungi perlembagaan.

Sekiranya masyarakat bukan Islam berdiam diri pada setiap kali melihat buku-buku fiksyen dan non-fiksyen menggunakan “Tuhan” bagi Islam dan “tuhan” bagi bukan Islam, nescaya generasi sekarang dan akan datang bakal merasakan diri mereka dan nenek-moyang begitu hina dan jahil kerana menyembah “tuhan” dan bukannya “Tuhan” (Allah).

Memandangkan bahasa kebangsaan adalah milik setiap warganegara, maka jangan pula ada pihak menggunakan dalil kononnya segala istilah dan tafsir dalam Kamus Dewan hanya layak dibuat dari sudut pandangan orang Melayu-Islam.

Saya berharap DBP akan segera meneliti isu ini dengan adil dan teliti tanpa dipengaruhi emosi Islamik dan etnosentrik. Sebarang kesilapan dan kekhilafan yang menyentuh sensitiviti dan agama masyarakat majmuk di Malaysia perlu dibetulkan tanpa berdolak-dalik.

Sementara itu, saya menggesa dan menggalakkan masyarakat bukan Islam berani bersuara dalam isu-isu seperti ini tanpa menganggapnya sebagai isu kecil dan remeh-temeh.

Tindakan berdiam diri mungkin ditafsir sebagai tanda bersetuju dan menerima apa sahaja yang diputuskan oleh orang lain tentang hak mereka dalam amalan beragama, termasuk istilah yang boleh mereka gunakan bagi Tuhan dalam agama masing-masing.


UTHAYA SANKAR SB ialah seorang penulis dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan - kumpulan penulis masyarakat India yang menulis dalam bahasa Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.