Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri: S'jaya Tinggi Bangladesh tak wajar buat laman cari kerja sendiri

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata dia terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur yang melancarkan laman cari kerja untuk warganya di Malaysia.

Saravanan berkata, laman web itu, Chakrir Khoj, boleh mengelirukan orang awam dan menjejaskan usaha kerajaan dalam soal pekerja asing di Malaysia di tengah-tengah wabak Covid-19.

Dia berkata langkah itu dibuat tanpa berunding atau makluman kepada kementeriannya.

"Tidak wajar untuk suruhanjaya tinggi membuat tindakan sebegitu yang yang menurutnya bukanlah peranan dan tanggungjawab perwakilan diplomatik asing.

"Adalah tidak wajar untuk Suruhanjaya Tinggi Bangladesh memperkenalkan portal pekerjaan yang dilihat bercanggah dengan hasrat kerajaan mengenai perancangan keperluaan guna tenaga pekerja warga asing," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh pada Sabtu lalu, Chakrir Khoj dilancarkan pada 8 April oleh Pesuruhjaya TInggi ke Malaysia Md Golam Sarwar.

Menurut kenyataan itu, aa bertujuan membantu "ribuan warga Bangladesh tanpa dokumen" untuk mendapatkan kerja dengan memudah cara perhubungan dengan syarikat pencari kerja dan menyingkirkan orang tengah daripada proses pengambilan kerja.

Laman itu juga membantu majikan di Malaysia dan warga Bangladesh tanpa dokumen atau tinggal lebih masa untuk menyertai program rekalibrasi pekerja asing oleh kerajaan Malaysia.

Program itu disaat beberapa sektor ekonomi utama Malaysia berdepan masalah kekurangan pekerja asing dan kesukaran mengambil pekerja tempatan untuk memenuhi kekosongan.

Pada masa sama, ramai pekerja asing yang memiliki dokumen sah mendapati mereka tiada pekerjaan selepas Covid-19 memaksa perniagaan ditutup atau pekerja dikurangkan.

Bagaimanapun, Saravanan berkata kementeriannya telah pun memiliki laman MyFutureJobs untuk mengiklankan kekosongan kerja yang melibatkan pekerja asing.

"Tindakan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ini boleh mendorong kemasukan pekerja asing tanpa izin (Pati) warga Bangladesh ke negara ini...Ini secara tidak langsung boleh menjurus kepada eksploitasi Pati yang boleh memberikan imej negatif kepada negara," katanya lagi.

Katanya lagi, Chakrir Khoj juga boleh menjejaskan lebih 400 agensi pekerjaan swasta yang berdaftar dengan kementerian untuk membawa masuk pekerja asing ke Malaysia.

"Agensi ini telah hampir setahun tidak menjalankan perniagaan tetapi perlu membayar fi yang tinggi untuk kekal sebagai agen," katanya lagi.

Dalam mesyuarat kabinet minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia diberi mandat untuk menyediakan kertas kerja berkenaan pekerja asing di semua sektor ekonomi di tengah-tengah penularan Covid-19.