Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Banjir kilat di ibu negara, banyak jalan sesak

Kesesakan lalu lintas berlaku di sekitar ibu negara selepas beberapa lokasi dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sejak pukul 4.30 petang tadi.

Antara laluan yang dinaiki air di beberapa tempat ialah di Jalan Kuching, sekitar Taman Wahyu menghala Bulatan Batu Caves; Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela serta Jalan Raja Chulan, dan sekitar Ampang serta Cheras.

Tinjauan pada pukul 9.00 malam ini mendapati takungan air di beberapa laluan berkenaan sudahpun berkurangan dan pergerakan trafik semakin beransur lancar, namun beberapa laluan di sekitar ibu negara masih tetap sesak apabila banyak kenderaan terpaksa bergerak dengan perlahan.

Antara laluan trafik yang menyaksikan kenderaan bergerak perlahan malam ini adalah di sepanjang Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Genting Klang dan Jalan Kuching.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecemasan susulan kejadian banjir kilat itu.

Sementara itu tular di media sosial adalah kejadian sebuah dinding kaca di bangunan berhampiran Masjid Jamek, di sini yang pecah berderai, dipercayai akibat hentaman sesuatu semasa hujan lebat melanda pada kira-kira pukul 5.00 petang. 

- Bernama