Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengusaha restoran bantu peniaga bazar Ramadan jual semula kuih

Simpati dengan nasib peniaga yang terjejas dengan pembatalan bazar Ramadan di Kelantan, seorang peniaga restoran tekad membantu sedaya upaya yang boleh.

Pemilik restoran Che Sue D'Mara, Che Suriya Mansor, 40 berkata, dia membantu beberapa peniaga bazar Ramadan Pasar Melor di Kota Bharu untuk menjualkan semula kuih muih mereka tanpa mengenakan caj tambahan.

Jelas Che Suriya, dia terdorong untuk membantu peniaga terbabit kerana ada antara mereka telah mengeluarkan modal berniaga sebelum operasi bazar Ramadan dibatalkan kerajaan negeri.

“Ada yang sudah beli barang kerana pengumuman (batal bazar) lambat, jadi ada di antara mereka sudah sediakan bahan mentah dan terpaksa buat juga (kuih muih) untuk elak pembaziran.

“Peniaga ini tiada tempat untuk berniaga, jadi saya tawarkan untuk mereka letak kuih-muih di sini untuk saya jualkan dan tidak mengambil caj tambahan. Sama-samalah kita bantu antara satu sama lain dalam keadaan sekarang ini," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun kata Che Suriya, berikutan ruang yang terhad dia hanya dapat membantu kira-kira 10 peniaga sahaja.

“Tempat di restoran saya sedikit kecil dan kita tidak menggalakkan berkumpul ramai-ramai di sini.

"SOP (Covid-19) juga menyebabkan kita harus terhadkan pembeli," katanya yang berharap inisiatif itu dapat menambahkan pendapatan peniaga terbabit.

Sementara itu Che Suriya berkata, sekiranya ada kuih muih yang tidak habis dijual, mereka sepakat memberikan kepada masjid dan pusat tahfiz yang terdekat untuk disedekahkan.

“Biasanya, pelanggan  di sini tidak ramai seperti di bazar. Kadang-kadang ada kuih yang tidak habis dijual. Jadi, kami akan sepakat untuk sedekah kepada masjid dan tahfiz terdekat,” katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan kebanyakan peniaga bazar Ramadan Kelantan terkesan dan buntu susulan pengumuman kerajaan negeri membatalkan operasi bazar Ramadan secara mengejut.

Berikutan itu kerajaan negeri hari ini mengumumkan peruntukan RM1.5 juta kepada 2,500 orang peniaga bazar Ramadan yang terkesan akibat pengumuman penutupan bazar Ramadan di negeri ini.