Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Siapa orang yang merakam audio itu?

ULASAN | Amat menarik isu klip audio yang didakwa merakamkan percakapan telefon beberapa minit di antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Isu yang kecil ini bagaimanapun mempunyai pengertian dan implikasi yang besar termasuklah dari aspek undang-undang.

Secara jujur, saya mendengar klip audio itu hanya sekali. Saya tidak ada credential atau tauliah kepakaran untuk mengesahkan adakah ia tulen, sahih atau benar.

Justeru saya hanya ingin mengulas perkara ini dari perspektif undang-undang.

Saya teringat, lebih 13 tahun yang lalu pernah ada suatu kes dan kontroversi sehingga ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkenaan dakwaan wujudnya klip audio percakapan telefon di antara seorang peguam kanan dengan bekas ketua hakim negara.

Terdapat verbatim pembelaan yang amat menarik daripada peguam tersebut iaitu: “ Suara itu macam saya, tetapi itu bukan saya."

Dalam sebuah negara demokrasi, adakah rakyat tidak ada privasi? Ini perkara penting yang ingin saya hujahkan. Hanya di dalam sebuah negara diperintah diktator dan punya polis ala Gestapo yang akan melakukan pengintipan perbualan dan percakapan telefon musuh-musuh politiknya dan rakyat jelata.

Misalnya apa yang berlaku pada zaman Nazi Hitler di Jerman dan semasa Joseph Stalin mentadbi Soviet Union.

Adakah Malaysia - yang kini di bawah kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin - sudah sampai ke peringkat yang sama seperti itu?

Mangsa dalam konspirasi

Sekiranya klip audio Ahmad Zahid dan Anwar itu tulen, bukanlah kedua-dua mereka yang perlu disiasat sebaliknya pihak yang berbuat jenayah dan wajib disiasat ialah orang yang melakukan pengintipan percakapan telefon berkenaan.

Siapa orang itu? Adakah individu biasa atau sebuah agensi kerajaan? Apa kuasa undang-undang yang membenarkan pihak-pihak tertentu melakukan pengintipan percakapaan telefon dua orang presiden parti politik yang sah di negara ini?

Inilah terma rujukan yang patut diikut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya siasatan dilakukan.

Apa jadi kalau klip audio itu palsu dan sengaja direka-reka? Ini adalah perbuatan yang jelas bersifat jenayah. Polis wajib siasat. Siapa yang mereka-reka klip video itu? Apa tujuan mereka? Apa kesan pendedahan klip video yang palsu itu? Adakah ia menimbulkan kegusaran dan kegentaran awam? Kalau jawapannya ya, maka perbuatan itu suatu kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan.

Adakah Ahmad Zahid dan Anwar perlu membuat laporan polis? Sama ada klip audio itu benar atau tidak, Ahmad Zahid dan Anwar adalah mangsa dalam konspirasi ini.

Mangsa kepada perbuatan jahat orang lain boleh membuat aduan polis, tetapi bukanlah semestinya mereka wajib mengadukannya kepada pihak berkuasa. Laporan polis dari segi undang-undang hendalah dibuat secara sukarela bukannya dipaksa.

Pernah berlaku lebih 23 tahun lalu, seorang timbalan perdana menteri Malaysia pada zaman perdana menteri keempat telah membuat laporan polis melalui pegawainya tentang wujudnya buku yang sarat dengan fitnah dan "50 dalil" mengapa dia tidak boleh menjadi perdana menteri.

Apa yang berlaku? Bukannya pihak yang menulis, menerbit, mencetak dan mengedarkan buku itu disiasat, sebaliknya diri timbalan perdana menteri itu pula yang menjadi mangsa siasatan.

Dia kemudian dituduh di mahkamah, dipukul separuh mati di dalam lokap polis sehingga lebam matanya, kemudian dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan merengkok di dalam penjara.

Mungkin Ahmad Zahid dan Anwar yang hidup pada zaman itu masih ingat akan episod mata lebam yang dimaksudkan.

Adakah Ahmad Zahid dan Anwar wajib membela diri dan membuktikan klip audio itu bukan percakapan telefon di antara mereka berdua?

Dari perspektif undang-undang, beban pembuktian tidak terletak ke atas Ahmad Zahid dan Anwar. Mereka berdua adalah mangsa konspirasi pihak ketiga.

Cuma gambar tidak jelas

Pihak yang patut membuktikan kesahihan klip audio berkenaan ialah pihak yang menuduh ia sesungguhnya rakaman sebenar percakapan di antara Ahmad Zahid dan Anwar.

Siapa sekarang yang beria-ia sangat menuduh klip itu benar dan autentik? Dari pembacaan saya terdapat sekurang-kurangnya tiga orang menteri di bawah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang mendakwa secara terbuka klip itu sah, tulen dan autentik.

Mereka yang telah mengumumkan kesahihan klip itu semacam berlesen ialah menteri-menteri bernama Annuar Musa, Zuraidah Kamaruddin dan Azmin Ali. Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin juga telah membuat beberapa kenyataan sebagai menteri dalam isu ini.

Nampaknya beban untuk membuktikan klip audio didakwa sebagai Ahmad Zahid dan Anwar itu benar, sahih dan autentik sekarang terletak pada kerajaan Muhyiddin.

Alang-alang hendak lakukan siasatan, maka sebagai seorang ahli parlimen, saya meminta kerajaan Muhyiddin - dan Azmin selaku menteri kanannya - supaya menyiasat sekali isu klip video salah laku dua individu di dalam sebuah bilik hotel di Sabah yang jelas melakukan kesalahan jenayah seks songsang sama ada mengiku Kanun Keseksaan atau undang-undang syarie.

Seorang daripada pelakunya mengakui kesahihan video berkenaan, pihak berkuasa juga pernah mengakui video itu adalah sah, tulen dan benar namun gambarnya tidak jelas.

Kes itu hendaklah disemak dan dihantar ke pihak forensik. Mungkin telah ada sekarang pihak yang boleh memeriksa dengan sejelas-jelasnya gambar dalam video itu.

Hamzah selaku menteri dalam negeri memikul tanggungjawab menyelesaikan siasatan kes video berkenaan.

Tuntutan saya ini penting, selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kesamarataan setiap warganegara Malaysia sama ada rakyat itu bernama Ahmad Zahid, Anwar ataupun individu-individu dalam video atas ranjang dalam bilik hotel di Sabah itu.


HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.