PM: Pangkalan data berpusat semak kelayakan penerima bantuan
Pangkalan data berpusat dicadangkan bagi menyelaras semakan kelayakan serta rekod penerima bantuan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata cadangan itu adalah antara Hala Tuju Baharu Bantuan Sosial yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikannya pada 22 Februari lalu.
Berucap pada majlis apresiasi ulang tahun ke-75 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Putrajaya hari ini, Muhyiddin berkata pangkalan data tersebut perlu memandangkan terdapat 192 jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat merentasi pelbagai agensi kerajaan.
"Sesiapapun yang memenuhi kriteria kelayakan penerima bantuan perlu dilayan secara adil dan saksama. Ini memenuhi prinsip prihatin yang menjadi teras pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini," katanya.
Muhyiddin juga mahu semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan sosial dapat menyelaraskan mekanisme penyampaian bantuan supaya bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan dengan kadar segera.
Perdana Menteri berkata warga kerja JKM perlu menjadi ejen penyampaian yang proaktif dan cekap dalam kalangan masyarakat.
"Misalnya apabila sesuatu pengumuman dibuat oleh kerajaan terutama hal-hal berkaitan dengan bantuan kebajikan, saudara dan saudari perlu bertindak dengan pantas untuk memastikan usaha menyampaikan mesej dan bantuan kepada masyarakat dalam komuniti masing-masing dibuat dengan betul dan berkesan.
"Ini termasuklah menambah baik proses permohonan bantuan, mengurangkan kekangan birokrasi dan memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang," katanya.
Muhyiddin berkata beliau sedar dan insaf bahawa ramai rakyat khususnya dalam kalangan penerima bantuan JKM yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Justeru, beliau berkata kerajaan telah mengambil pendekatan yang proaktif dan menyeluruh sejak dari awal dengan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Kita Prihatin, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan yang terbaru pelan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
Beliau berkata inisiatif tersebut adalah penting bagi memastikan supaya segala bantuan dapat disalurkan kepada golongan sasaran untuk membantu rakyat dalam fasa pemulihan ekonomi negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai