Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin PKR S'gor minta Ezam tak campur tangan urusan parti

Pemimpin PKR Selangor dan KL mengenepikan kenyataan bekas senator Ezam Mohd Nor yang mengatakan kesediaan mencabar Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di kerusi DUN Sungai Tua pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Ezam, yang kini memimpin gerakan yang digelar Gerak 98 - yang dilihat sebagai pendukung Presiden PKR Anwar Ibrahim - semalam mengatakan bahawa dia mahu menyelamatkan Selangor dari pengkhianatan seperti Langkah Sheraton.

Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow memberitahu Malaysiakini bahawa tidak ada orang yang seharusnya mengganggu pemilihan calon PKR.

"Biarkan pucuk pimpinan putuskan, dan jangan menyerang siapa pun," katanya.

Pandangan itu dikongsi Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa yang mengatakan bahawa pemilihan calon adalah di tangan kepemimpinan tertinggi parti khususnya presiden.

"Pihak ketiga jangan masuk campur.

"Kenyataan menyerang menteri besar Selangor dengan cara ini bertujuan untuk merosakkan kerajaan Selangor dan PKR yang memimpin kerajaan negeri," kata Sivarasa.

Ezam, meninggalkan Umno pada tahun 1998 untuk menjadi salah seorang ahli pengasas PKR. Dia pernah menjadi ketua Pemuda PKR sebelum kembali kepada Umno pada 2008.

Dia kemudian dilantik sebagai senator oleh pentadbiran BN dan juga menjadi presiden Parti Generasi Baru (Parti NewGen) pada tahun 2017.

Semalam dia mendakwa masih ada penyokong Mohamed Azmin Ali dalam PKR dan mengatakan bahawa mereka telah dilantik ke jawatan penting termasuk dalam pemerintahan negeri Selangor.

Ezam menggesa mereka berundur dan tidak bertanding pada pilihan raya akan datang.

Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong pula mengatakan bahawa pandangan Ezam tidak perlu diambil kira.

"Saya tidak membuang masa untuk kenyataan Raja Katak," katanya merujuk tindakan Ezam bertukar sokongan beberapa kali.