Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahasiswa ketepi perbezaan politik desak Undi 18 dilaksana segera

Lebih 20 pelajar Universiti Malaya (UM) daripada fahaman politik berbeza menyertai protes senyap di hadapan Dewan Tunku Canselor (DTC) bagi menyatakan bantahan terhadap penangguhan Undi 18.

Protes berlangsung kira-kira 18 minit sebagai simbolik solidariti kepada 1.2 juta pemilih yang berumur antara 18 sehingga 20 tahun.

Peserta protes dilihat hadir memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Muhammad Haziq Azfar Ishak ketika berucap berkata mereka kesal dengan keputusan penangguhan Undi 18 yang menafikan hak orang muda untuk mengundi.

Jelasnya, mahasiswa sedia mengenepikan perbezaan fahaman politik, pandangan dan ideologi bagi memastikan Undi 18 dilaksanakan.

"Kami tidak akan berkompromi dan akan bersatu tenaga bagi menuntut hak mengundi sebahagian besar daripada rakan-rakan kami," katanya.


Selain KMUM, Sekreteriat Mahasiswa Undi 18 UM turut dianggotai Demokrat UM, Neo-Siswa UM, Kelab Mahasiswa MCA (MCASiswa), Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany), Angkatan Mahasiswa UM, Mahasiswa Keadilan Malaysia UM, Suara Siswa UM, Belia Harmoni Universiti Malaya dan Mahasiswa Parti Sosialis Malaysia UM.

Sementara itu, Setiausaha Agung bagi MCASiswa, Lee Chia Loke berkata perbezaan politik perlu diketepikan agar masa hadapan mahasiswa dan golongan muda terbela.

"Walaupun kami dari MCA, kami berpihak kepada kerajaan tetapi kami tetap sokong Undi 18 dan berharap agar Undi 18 dipercepatkan," kata Chia.

Undi 18 diusulkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi menurunkan umur minimum pengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi.

Usul itu mendapat sokongan semua ahli parlimen ketika itu.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan menangguhkan Undi 18 ke September ke tahun depan dengan memetik alasan bahawa persiapan pelaksanaannya terjejas susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).