Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Pak menteri, graduan gaji rendah atau menganggur sama teruk

KATA MP | Anak muda berasa kecewa dengan dua orang menteri kerajaan persekutuan yang gagal memahami cabaran ekonomi rakyat.

Menteri di JPM (Ekonomi), Mustapa Mohamed, baru-baru ini berkata bahawa siswazah patut bersabar di era pandemik dan bersyukur sekiranya mendapat kerja walaupun bergaji rendah.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan pula menyuruh siswazah menerima gaji rendah daripada menjadi penganggur.

Paling malang sekali ialah, kedua-dua menteri ini merupakan menteri yang bertanggungjawab untuk menjaga ekonomi dan pekerjaan, yang merupakan isu penting kepada rakyat ketika ini.

Saya ingin katakan dengan tegas bahawa bekerja dengan gaji yang serendah RM1,000 adalah sama teruk dengan tidak bekerja langsung kepada anak muda.

Mengambil pekerjaan dengan gaji yang rendah berbanding kelayakan, pengalaman, dan juga keperluan ekonomi seseorang boleh ditakrifkan sebagai pekerjaan di bawah potensi atau guna tenaga tidak penuh (underemployment).

Gaji graduan turun 50 peratus

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, majoriti siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan pada tahun 2020 menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding RM2,001 hingga RM2,500 pada 2019.

Dalam kata lain, gaji permulaan siswazah telah mengalami penurunan sehingga 50 peratus.

Jabatan Perangkaan juga melaporkan bahawa kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, yakni siswazah yang terpaksa menjadi pekerja berkemahiran rendah, meningkat dari purata 32.7 peratus (1Q2017– 4Q2029) kepada 36.8 peratus pada suku ketiga tahun 2020.

Semua ini bermaksud, masalah guna tenaga tidak penuh sangat parah terutama di kalangan anak muda.

Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) seakan-akan menafikan fakta bahawa kedua-dua pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dianggap sebagai faktor negatif ekonomi.

Malah, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) telah meletakkan ketidakpadanan pekerjaan dan guna tenaga tidak penuh di kalangan siswazah sebagai isu keutamaan pasaran buruh yang perlu ditangani pada masa ini.

Antara kesan buruk guna tenaga tidak penuh termasuk:

  1. Bekerja dengan gaji tidak setimpal menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan bagi anak muda, yang bukan sahaja sudahpun terbeban dengan hutang pengajian tinggi, malah terpaksa berdepan kos sara hidup yang meningkat. Gaji RM1,000- RM1,500 juga jauh lebih rendah dari pendapatan garis kemiskinan (PGK), RM2,208 sebulan. Ini bermakna anak muda kini berada dalam keadaan semakin bekerja semakin miskin. 
  2. Undang-undang gaji minima akan dianggap sebagai singa tidak bertaring. Gaji sebanyak RM1,000 tidak memenuhi gaji minima perundangan, RM1,200. Menteri-menteri PN yang sepatutnya melindungi pekerja dan anak muda daripada penindasan kini terang-terang menyuruh anak muda bersyukur menerima pekerjaan bergaji rendah yang melanggar undang-undang gaji minima.
  3. Guna tenaga tidak penuh menyebabkan kesan parut ataupun “scarring” sehingga 10 tahun akan datang. Siswazah yang bergaji rendah pada hari ini mempunyai prospek yang lebih rendah untuk mempertingkatkan gaji mereka ke paras yang sepatutnya di masa hadapan kerana mereka tidak mempunyai kuasa berunding yang besar.
  4. Keadaan ini juga berpotensi menyebabkan pengangguran kerana anak muda tidak mempunyai prospek yang lebih baik dalam pekerjaan mereka.
  5. Bekerja dengan gaji tidak setimpal juga boleh menyebabkan kesan psikologi pada anak muda yang bekerja dengan gaji lebih rendah dan tidak dapat memenuhi keperluan ekonomi serta aspirasi kehidupan mereka.
  6. Fenomena gaji rendah juga akan menyebabkan persaingan ke bawah (competition to the bottom) dalam pasaran kerja di mana kesan domino akan membantutkan mutu gaji di semua peringkat. Akhirnya semua orang akan terkesan dengan masalah gaji rendah ini.
  7. Semua ini akan memberi tekanan kepada sosio-ekonomi negara, dengan kumpulan paling produktif iaitu anak muda tidak dapat memenuhi potensi menjana pembangunan ekonomi secara maksima.

Menteri-menteri PN yang bergaji tinggi nampaknya melepas tangan mengabaikan kepentingan pekerja terutamanya anak muda dalam isu ini.

Adakah mereka sedar bahawa tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada anak muda bahkan ekonomi negara kita sekarang sehingga 10 tahun yang akan datang?

Apa sudah jadi dengan inisiatif MalaysiaKerja yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dahulu dalam Belanjawan 2020?

Program itu dirangka untuk memberikan subsidi kepada pekerja dan majikan bagi mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang setimpal untuk anak muda.


STEVEN SIM ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.