Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hassan minta Hamzah usah 'gagalkan' keputusan IGP

Seorang pemimpin PKR hari ini meminta Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin agar tidak mencampuri urusan pertukaran pegawai kanan polis selepas diputuskan pemimpin tertinggi mereka.

Menurut Hassan Abdul Karim walaupun negara ini berada dalam darurat dan parlimen digantung, Hamzah tidak mempunyai kuasa melangkaui undang-undang untuk campur tangan dalam ketetapan dibuat ketua polis negara.

Katanya dia mendapat maklumat Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador membuat keputusan menukarkan jawatan dan tugas pegawai-pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut undang-undang yang memperuntukkan kuasa control and command (kawalan dan perintah) yang ada padanya sebagai penjawat awam yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

"Hamzah tidak ada kuasa di bawah undang-undang untuk menangguhkan, apatah lagi menggagalkan keputusan yang telah diambil oleh ketua polis negara," katanya dalam kenyataan petang ini.

Ia dikeluarkan ahli parlimen Pasir Gudang berkenaan beberapa jam selepas Abdul Hamid mengesahkan dia akan bertemu Hamzah untuk menjelaskan mengapa pertukaran jawatan yang dilakukannya tidak boleh ditangguhkan.

Bercakap kepada media di Kelang, Selangor hari ini Abdul Hamid berkata pertukaran tersebut sepatutnya dilaksanakan selaras dengan kuasa kawal selia PDRM terletak di bawah tanggungjawabnya.

Menurut Abdul Hamid langkah pertukaran itu dibuat untuk kebaikan semua dan tiada apa-apa yang luar biasa di sebaliknya.

Bagaimanapun katanya pada saat-saat akhir dia dimaklumkan ada arahan agar pertukaran tersebut ditangguhkan.

Semalam ada hantaran tular dalam media sosial mendakwa ada campur tangan dari Kementerian Dalam Negeri dalam hal ehwal PDRM.

Hassan berkata cubaan yang dilakukan Hamzan adalah serius.

"Walaupun sekarang negara berada dalam keadaan darurat dan parlimen digantung, tidak bermakna Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa yang melampaui peruntukan undang-undang sehingga mengganggu bidang kuasa ketua polis negara," katanya.

Menurut Hassan baru-baru ini Abdul Hamid sendiri mendedahkan wujudnya kartel dalam PDRM dan ia menjejaskan intrgriti pasukan keselamatan terbabit.

"Sebagai ahli parlimen, saya menasihatkan Hamzah menarik balik arahannya yang meminta ketua polis negara menangguhkan keputusan pertukaran pegawai-pegawai kanan polis.

"Ketua polis negara mesti diberi ruang dan sokongan semua pihak untuk membasmi jenayah di negara ini dan menjadikan PDRM sebuah agensi yang menjaga keselamatan dan ketenteraman awam secara profesional, cekap dan amanah," katanya yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan Dewan Rakyat.