Terlalu awal ramal kedudukan wakil rakyat Bersatu dari Umno, kata Rais
Bekas pemimpin Umno yang kini menyertai Bersatu, Rais Yatim, berkata masih terlalu awal untuk meramal nasib wakil rakyat partinya yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pun begitu, kata Rais, dia yakin semua pihak yang terbabit mempunyai pertimbangan masing-masing dalam isu berkenaan.
“Itu telahan yang terlalu awal untuk kita katakan pada hari ini. Mereka yang berada dalam kerajaan - khususnya menteri, timbalan menteri - mereka itu tentu sedang membuat pilihan dalam menghadapi pilihan raya.
“Dan pada masa yang sama, tanda-tanda pilihan raya itu kita belum dapat lagi nak menyatakan cepat ataupun ada satu tarikh yang jelas,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Untuk rekod Rais ialah ahli politik veteran yang pernah menyertai Tengku Razaleigh Hamzah menggerakkan Parti Semangat 46 sebelum kembali kepada Umno.
Dia kemudian menyertai Bersatu ketika Umno berdepan dengan skandal 1MDB.
Pernah dilantik menjadi menteri undang-undang, selepas Pakatan Harapan dijatuhkan dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, Rais dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara.
Ketika ini Rais juga merupakan ketua Bersatu Jelebu.
Umno akhir bulan lalu memberitahu parti itu akan mengarahkan ahli parlimennya yang menjadi menteri di bawah Muhyiddin meletak jawatan pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.
Bersatu dah bersedia
Ketika PRU mungkin diadakan lebih awal daripada tempoh penggal berakhir, antara kemelut yang didepani Bersatu ialah kerusi wakil rakyat mereka yang asalnya bertanding sebagai calon Umno-BN.
Umno sudah berkali-kali menegaskan mereka akan meletakkan calon di kerusi yang 'dilarikan' ke Bersatu. Antara kerusi itu ialah Larut yang dimenangi Hamzah Zainudin.
Selepas PRU ke-14 lalu Hamzah meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu. Dalam parti barunya Hamzah dilantik menjadi setiausaha agung.
Menurut Rais sebarang tindakan yang akan diambil adalah berlandaskan dengan situasi parlimen dan selepas tamat darurat.
"Hanya perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang berhak memutuskan situasi tersebut," katanya.
Semalam, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata dia bersedia dengan strategi sekiranya perlu berdepan dengan Umno untuk mempertahankan kerusinya di Larut.
“Jika mereka (Umno) ingin letakkan calon, silakan, dan letak sesiapa dengan gabungan yang mereka ada sekarang.
“Kita (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) yang bekerja dengan PAS dan parti lain akan letakkan calon dari gabungan parti yang layak untuk bertanding bukan hanya di Larut tetapi seluruh negara,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai