KDN siasat dakwaan majikan beri maklumat agar pekerja asing ditangkap
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat dakwaan kononnya ada majikan melaporkan sendiri kepada Jabatan Imigresen supaya membuat serbuan ke atas pekerja asing yang bekerja dengan mereka bagi mengelakkan pembayaran gaji.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata siasatan akan dijalankan secara terperinci mengambil kira pelbagai aspek jika benar wujud dakwaan itu bagi memastikan proses keadilan ditegakkan dalam menyelesaikan perkara berkenaan.
“Kita tidak boleh menuduh majikan sewenang-wenangnya konon mereka yang buat laporan kerana sebelum serbuan dan operasi, kita buat siasatan dan menggunakan strategi tertentu dalam memastikan majikan mengikut undang-undang.
“Begitu juga kepada pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dibayar levi tertentu. Sekiranya berlaku sesuatu, kita akan siasat dengan pekerja-pekerja termasuk jika belum dibayar gaji, siasat di mana dan dengan siapa mereka bekerja.
“Dan kita akan tuntut bagi pihak mereka. Itu semua dilakukan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” katanya selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, Ipoh hari ini.
Dia mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya terdapat serbuan Jabatan Imigresen terhadap pekerja asing di tapak pembinaan yang dilaporkan majikan sendiri untuk mengelakkan daripada membuat pembayaran gaji selepas projek bermula atau telah disiapkan.
Semalam, Jabatan Imigresen menahan sejumlah pendatang tanpa izin yang bekerja di tapak binaan kondominium di Setapak, Kuala Lumpur dan ada pihak termasuk netizen mendakwa serbuan itu dibuat hasil laporan majikan sendiri.
Sementara itu, Hamzah berkata sehingga kini, terdapat 40,000 permintaan daripada pemain industri untuk membawa masuk pekerja asing ke dalam sektor perladangan negara.
Bagaimanapun, dia berkata kerajaan belum menetapkan sebarang polisi dan memerlukan kajian mendalam untuk menilai dari sudut prosedur operasi standard (SOP) membabitkan proses vaksinasi, kuarantin, penginapan sebelum boleh menerima pekerja asing semula ke dalam industri.
“Kalau kita ingin benarkan mereka masuk, kita kena lihat dari sudut siapa yang akan bayar ujian Covid-19, kuarantin 14 hari di mana, kemudiannya apabila sudah selesai dan mereka ini bebas, adakah majikan menyediakan pusat perumahan yang mencukupi.
“Bila SOP ini semua telah diikuti, saya rasa tidak salah untuk mereka diberikan peluang, namun buat masa ini, polisi itu belum lagi dibenarkan,” katanya.
Difahamkan, buat masa ini sebarang kemasukan pekerja asing dihentikan berikutan pandemik Covid-19 sekali gus memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan berkenaan.
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebelum ini dilapor berkata Malaysia masih berdepan kekurangan lebih 500,000 pekerja sektor perladangan komoditi dengan anggaran masing-masing 220,000 pekerja tempatan dan 265,397 pekerja asing berdaftar bagi sektor terbabit setakat ini.
Menurutnya, angka itu adalah tidak memadai kerana Malaysia mempunyai jumlah keluasan 7.14 juta hektar tanah ladang yang memerlukan sejuta pekerja.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai