Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suhakam gesa dedah laporan jawatankuasa khas isu pekerja asing

Langkah Malaysia untuk menangani isu-isu buruh paksa dalam industri pembinaan harus merangkumi pendedahan laporan khas Jawatankuasa Bebas Khas untuk Pekerja Asing yang dibuat ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelumnya.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph berkata, 40 cadangan dalam laporan terperinci itu berdasarkan penglibatan pihak berkepentingan yang dilakukan pada masa itu dan masih dapat diterapkan hari ini.

Antara lain, peserta dalam perbincangan pihak berkepentingan Suhakam di Kuala Lumpur hari ini membangkitkan isu orang tengah yang terlibat dalam pengambilan pekerja warga asing untuk industri pembinaan yang menyumbang kepada masalah buruh paksa.

"Saya rasa ini adalah persoalan besar. Adakah kita memerlukan begitu banyak orang tengah dan agensi untuk memastikan pekerjaan yang efektif dalam industri ini?

"Dari amalan terbaik di negara lain, banyak negara tidak menggunakan orang tengah," kata Joseph.

"Kita dapat melakukan pengambilan pekerja dengan lebih telus menggunakan teknologi dan sistem dalam talian.

"Malaysia boleh bergerak ke arah itu dan salah satu faedahnya, bayarannya akan berkurang dan apa sahaja yuran akan disalurkan kepada kerajaan," katanya.

Jun lalu, bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran mengatakan jawatankuasa bebas yang diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamuddin Yunus sejak awal 2019 telah menyampaikan laporannya kepada kabinet PH ketika itu, tetapi tidak satu pun cadangan dilaksanakan hingga kerajaan dijatuhkan.

Sebelum itu, kerajaan BN melalui pindaan Akta Pekerjaan Swasta yang dikuatkuasakan pada Februari 2018, telah berusaha untuk mengurangkan jumlah syarikat berlesen dari 1,202 menjadi lebih 400, termasuk yang hanya terlibat dalam pengambilan pekerja rumah tangga.

Namun, isu orang tengah yang tidak berlesen mendapat keuntungan daripada warga asing tetap berlanjutan, termasuk menyasarkan mereka yang sudah ada di sini dan mencari perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan.

Jerald juga menyatakan perlunya meningkatkan syarat-syarat yang ada atau mengadakan perjanjian antara kerajaan, misalnya perjanjian Malaysia-Nepal yang ditandatangani pada bulan September 2019.

Syarat baru untuk memberikan perlindungan yang lebih tinggi bagi pekerja Nepal di Malaysia ditandatangani berikutan siasatan rentas sempadan oleh Malaysiakini dan organisasi berita Nepal Himar Khabarpatrika yang mendedahkan adanya subahat antara pegawai Nepal yang korup dan pegawai di Malaysia serta syarikat swasta untuk mengenakan pekerja dengan bayaran yang terlalu tinggi.

Sementara itu, Naib Pengerusi Suhakam, Mah Weng Kwai tidak menafikan permintaan pekerja asing dalam industri pembinaan.

"Kita amat menghargai keperluan pekerja asing dalam industri pembinaan.

"...jadi perkara yang betul adalah menjaga mereka dengan betul," katanya.

Mah juga menekankan bahawa isu 'perhambaan moden' ini merangkumi penderaan fizikal secara langsung hingga keadaan di mana seorang pekerja tidak akan rela bekerja jika diberi pilihan.

Dia mengatakan bahawa kebanyakan masalah telah berlanjutan selama bertahun-tahun tetapi baru-baru ini diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19, misalnya warga asing yang bekerja dan hidup dalam keadaan yang buruk, serta tidak dibayar gaji.

Penglibatan pihak berkepentingan Suhakam hari ini menyaksikan penyertaan pelbagai pihak berkuasa tempatan dan misi asing yang mewakili negara sumber termasuk India, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Nepal dan Myanmar.