Polis akan tentukan ketulenan audio didakwa suara Zahid, Anwar
Pihak polis akan menghantar rakaman audio didakwa perbualan antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim ke makmal forensik bagi tujuan pengesahan suara.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, kertas siasatan telah dibuka selepas polis menerima sekurang-kurangnya lapan laporan daripada beberapa pihak sejak pagi tadi.
"Kita akan hantar rakaman suara ke makmal forensik bagi tujuan analisis perbandingan persamaan suara rakaman,” kata Acryl Ketika dihubungi hari ini.
Meskipun laporan dibuat di beberapa balai polis, namun Acryl berkata siasatan dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Antara yang membuat laporan polis berhubung rakaman audio itu ialah exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Zahid dan Anwar telah menafikan suara dalam audio berkenaan adalah miliknya dan masing-masing berkata akan membuat laporan polis.
Bagaimanapun setakat ini belum ada laporan polis daripada kedua-dua pihak.
Terdahulu hari ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, dia belum dimaklumkan tentang sebarang laporan daripada mereka.
"...Kita tunggu sahaja lah, kalau betul mengatakan beliau difitnah, tampillah membuat laporan demi kebaikan juga,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
"Itu (Siasatan) tindakan susulan yang mana apabila laporan dibuat oleh seseorang yang mengatakan difitnah itu, kita akan terus membuka kertas siasatan.
“Hanya selepas itu pihak polis akan proses dan menganalisis rakaman audio itu untuk menilai bukti atau apa sahaja yang diperlukan,” katanya lagi.
Laporan tambahan oleh Haspaizi Zain
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai