Suhakam: Bukan tanggungjawab NGO biayai kos tahanan warga asing
Peranan badan bukan kerajaan (NGO) tidak merangkumi menampung kos pendatang tanpa izin di pusat tahanan di negara ini, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.
Sebaliknya, Naib Pengerusi Suhakam, Mah Weng Kwai mengingatkan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin bahawa NGO hanya memainkan peranan advokasi bagi mengetengahkan isu-isu untuk perhatian kerajaan.
"Kita mesti memahami peranan NGO dan CSO (badan sivil). Peranan mereka adalah untuk advokasi.
"Peranan mereka adalah untuk mengemukakan masalah kepada kerajaan, memberi kesedaran dan sebagainya," kata Mah pada sidang media selepas perbincangan pihak berkepentingan Suhakam di Kuala Lumpur mengenai isu buruh paksa dalam industri pembinaan.
"Mereka (NGO) telah menjalankan tugas mereka.
"Tugas mereka tidak termasuk menyediakan wang untuk menampung pekerja asing tanpa dokumen," tambahnya.
Begitu juga dengan pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph, yang mengatakan kerajaan mesti mencari jalan untuk menguruskan semua individu di dalam negara ini tanpa mengira statusnya.
"Sekiranya seseorang melakukan kesalahan, tentu mereka akan ditangkap, didakwa, dibawa ke proses yang tepat. Dalam proses itu ada kos.
"Tetapi sebagai kerajaan hari ini, dan kerajaan menggunakan wang rakyat untuk mengurus, tapi menyerahkan (tanggungjawabnya) kepada NGO? NGO tidak seharusnya terlibat dalam hal ini," katanya.
"Saya dapat memahami jika jumlahnya besar dan ini merupakan beban tambahan bagi kerajaan.
"Tetapi bukan hanya kerajaan Malaysia, di setiap bidang kuasa, adalah tugas kerajaan untuk mengurus semua orang di dalam negaranya," kata Jerald.
Hamzah semalam mengatakan Malaysia akan terus mengusir pendatang asing tanpa dokumen mengikut undang-undang negara.
Hamzah juga menyindir NGO yang mengkritik usaha kerajaan dengan mengatakan bahawa NGO boleh menanggung semua kos yang berkaitan sekiranya mereka benar-benar mahu menjaga para pendatang asing yang ditahan di sini.
Hamzah berkata demikian berikutan bantahan oleh Amnesty International Malaysia (AI-M) terhadap tindakan Jabatan Imigresen untuk mengusir 1,086 warga Myanmar pada 23 Februari, walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pelaksanaannya ditangguhkan.
AI-M, bersama-sama dengan Asylum Access Malaysia telah mengajukan permohonan menangguhkan penghantaran pulang warga Myanmar itu atas keprihatinan bahawa terdapat pencari suaka dan kanak-kanak di bawah umur dengan ibu bapa di Malaysia dalam kalangan yang mahu dihantar pulang.
Ini memandangkan keganasan yang sedang berlaku di Myanmar berikutan rampasan kuasa tentera pada bulan Februari dan penganiayaan terhadap masyarakat Rohingya.
Jabatan Imigresen mendakwa tidak ada pelarian yang dihantar pulang tetapi NGO mahu Suruhanjaya Tinggi PBB Untuk Pelarian (UNHCR) dibenarkan mengakses maklumat berkenaan pihak yang dihantar pulang untuk mengesahkan dakwaan tersebut.
UNHCR telah dilarang masuk ke semua pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai