Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua kakitangan imigresen ditahan disyaki godam data, terlibat sindiket PLKS

Dua kakitangan Jabatan Imigresen antara enam individu ditahan disyaki terlibat sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan menggodam pangkalan data jabatan berkenaan.

Kesemua suspek berumur lingkungan antara 35 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar ibu kota sejak malam tadi.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata empat lagi suspek adalah pekerja teknikal syarikat pembekal sistem.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Penahanan keempat-empat pekerja syarikat pembekal itu membawa kepada penemuan beberapa komputer di Jabatan Imigresen yang telah dilengkapi dengan peranti serta perisian penggodaman,” kata sumber itu.

Selain itu, sumber itu berkata dua kakitangan Jabatan Imigresen telah ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

“Mereka yang berusia diantara 34 tahun hingga 42 tahun dikenal pasti terlibat dalam membantu sindiket menjalankan kegiatan penggodaman sistem itu,” katanya.

Sumber SPRM berkata kesemua kakitangan jabatan itu dipercayai turut menerima rasuah sebagai habuan kerana bersubahat dalam kegiatan ini dan rentetan itu beberapa perkakasan Teklonolgi Maklumat (IT) dan komputer telah disita daripada pejabat Imigresen.

Empat hotel ternama jadi pusat operasi godam

Turut disita adalah komputer riba dan External Hard Disk milik pekerja syarikat pembekal sistem yang digunakan bagi tujuan menggodaman sistem.

Menurut sumber itu setakat ini, SPRM telah mengenal pasti empat hotel ternama sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi penggodaman itu.

Menurut sumber itu lagi, penahanan terbaru ini adalah lanjutan daripada operasi bersama-sama Jabatan Imigresen yang diadakan pada 6 April lepas di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbaru itu.

“SPRM melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara. Kesemua suspek akan disiasat dalam penglibatan mereka yang bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen,” katanya menambah siasatan akan dijalankan daripada segenap sudut undang-undang jenayah.

Selasa lepas seorang bekas kakitangan Jabatan Imigresen antara lima individu yang disyaki membuka laluan kepada sindiket pemalsuan PLKS dan menggodam sistem pangkalan data imigresen dan SPRM turut membekukan sebanyak 147 akaun melibatkan 30 individu dan 11 syarikat membabitkan sejumlah RM9.9 juta.

- Bernama