K'jaan Selangor siasat isu pajakan Ladang Tennamaram
Kerajaan Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian negeri sedang menjalankan siasatan dalaman dan semakan terperinci berkaitan isu pajakan tanah di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, Kuala Selangor, dekat Shah Alam.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli berkata kerajaan negeri memandang serius tuduhan berkaitan isu pajakan tanah tersebut dan akan memberi kerjasama sebaiknya kepada pihak berkuasa.
“Selari dengan nilai-nilai kebertanggungjawaban dan ketelusan, pentadbiran Selangor tidak akan sekali-kali berkompromi dengan sebarang elemen rasuah dan salah guna kuasa di semua peringkat.
“Justeru, kerajaan negeri bersedia dan akan memberi kerjasama sebaiknya kepada pihak berkuasa,“ katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.
Rabu lepas, sekumpulan peneroka Ladang Tennamaram melakukan demonstrasi aman di ladang tersebut bagi meminta campur tangan kerajaan Selangor untuk menyelesaikan isu tanah yang diusahakan mereka sejak 1965 yang kini telah dipajak kepada dua syarikat.
Juwairiya berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dan tidak akan melindungi mana-mana pesalah demi menjunjung prinsip luhur reformasi yang berteraskan ketelusan dan akauntabiliti kepada semua.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai