Peguam tulis buku pengalaman 'rampas kapal mewah Jho Low'
Peguam yang mengetuai pasukan perundangan Malaysia untuk 'merampas' semula kapal mewah berkaitan 1MDB, Equanimity, sedang menulis sebuah buku mengenai pengalamannya berhubung kes tersebut.
Sitpah Selvaratnam berkata buku itu bertajuk "Arrest of The Superyacht Equanimity: How Malaysia Reclaimed What Was Hers" adalah bacaan ringkas tapi padat.
The Equanimity merupakan kapal mewah yang dibeli oleh ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dengan harga AS$250 juta, menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.
Kapal mewah itu disita oleh pihak berkuasa Indonesia pada Februari 2018 dan diserahkan kepada Malaysia pada Ogos tahun itu, tiga bulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan.
"The Equanimity sangat terkenal. Ia sangat hebat, namun sukar untuk disita (elusive).
"Jho Low telah mencetuskan misteri tentang kapal itu terutamanya apabila terdapat cakap-cakap mengenai pesta mewah Jho Low bersama selebriti luar negara," kata petikan dalam buku tersebut.
Sitpah berada di lokasi ketika kapal itu pertama kali berlabuh di Pelabuhan Klang.
Katanya, buku itu akan merangkumi kejayaan pasukan undang-undang daripada tindakan menyita kapal itu sehinggalah menjualnya.
“Ia adalah naratif yang disemaikan atas semua pengalaman saya, emosi tidak menentu yang kami hadapi dan cabaran yang harus kami atasi.
Hasil jualan buku derma badan amal
"Semangat kegembiraan, keberanian dan pengorbanan untuk mencapai objektif bersama, itulah intipati penting dalam buku ini," katanya kepada Malaysiakini.
Sitpah berkata buku itu turut menceritakan pengalamannya menjadi wanita yang memimpin pasukan dalam industri yang dikuasai oleh lelaki.
Selain itu, dia yakin buku ini dapat menjadi sumber bagi peguam maritim yang ingin mempelajari bagaimana menyita, mengurus dan menjual kapal mewah.
"Tidak mudah untuk membuat seseorang membayar sejumlah wang yang begitu banyak untuk sebuah kapal," katanya.
Buku tersebut boleh dipesan lebih awal dengan harga RM88 di laman web atau laman Facebook Sitpah.
Buku ini akan dijual pada harga RM108 setelah ia diterbitkan.
Sitpah berkata dia menerbitkan sendiri buku itu dan semua hasil jualan itu akan disalurkan kepada badan amal.
"Saya mempunyai senarai 22 badan amal - jadi saya akan menyalurkannya secara bergilir berdasarkan perkembangan jualan buku itu,” katanya.
Seminar untuk membincangkan buku itu, yang menampilkan bekas ketua hakim negara Tun Zaki Azmi, juga dijadualkan diadakan pada 5 Mei.
Equanimity kini dimiliki oleh Genting Group, yang membeli kapal mewah tersebut - yang kini dinamakan sebagai Tranquility - pada harga AS$126 juta.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai