Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MBSA: Sesi rundingan tukar status hutan berdasarkan jemputan

Sesi pendengaran awam untuk menukar status hutan Rimba Komuniti Shah Alam menjadi kawasan pembangunan komersial dan tanah kubur hanya terbuka kepada jemputan kepada pihak berkepentingan sahaja.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuat penjelasan itu susulan beberapa kumpulan media mengecam tindakan pihak yang menghalang wartawan membuat liputan terhadap pendengaran awam itu semalam.

"Pihak MBSA ingin menjelaskan isu yang ditularkan di media sosial berhubung larangan kepada wakil media untuk mengikut sesi Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan pendengaran Awam untuk Draf Rancangan Tempatan MBSA 2035 (Penggantian) yang telah diadakan di Dewan Bankuet, MBSA.

"Ingin dijelaskan di sini bahawa sesi tersebut adalah berdasarkan jemputan kepada pihak berkepentingan seperti individu dan agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang telah mengemukakan bantahan rasmi dan maklum balas terhadap cadangan pembangunan yang telah disediakan dalam DRTMBSA 2035 dalam tempoh yang ditetapkan mengikut peruntukan Seksyen 13(1) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 10976.

"Sesi yang dijalankan ini juga dilakukan mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ketat dengan mengambil kira jumlah kapasiti kehadiran mengikut keluasan dewan serta melaksanakan SOP yang ditetapkan seperti melakukan penjarakan fizikal yang membataskan jumlah individu yang dibenarkan masuk ke sesi tersebut," menurut MBSA dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, MBSA tidak menjelaskan mengenai cubaan penduduk tempatan mahu membantu petugas media.

Penduduk ketika itu mencadangkan supaya media dibenarkan menghadiri sesi tersebut sebagai wakil untuk mereka yang tidak hadir dan pegawai MBSA membenarkannya dengan syarat sesi tersebut tidak dilaporkan.

Pegawai MBSA itu juga turut memberitahu petugas media supaya menyerahkan alat rakaman audio mereka.

Menurut cadangan pembangunan komersial berkenaan, antaranya jalan akan dibuat di kawasan hutan seluas 400 ekar itu, selain sebahagiannya akan ditukar status menjadi tanah kubur.

Pun begitu, Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam mempersoalkan sekiranya hutan tersebut telah diwartakan mengikut prosedur, termasuk keperluan untuk mengadakan rundingan awam berhubung perkara itu.

Kata persatuan itu, Rimba Komuniti Shah Alam yang mahu dibangunkan itu merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Pada pendengaran awam semalam, apabila bantahan disuarakan, petugas media tidak dibenarkan memasuki tempat itu atau melaporkan sesi tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han ketika dihubungi memberitahu Malaysiakini, bahawa pendengaran tersebut merupakan majlis tertutup.

Dia dipercayai mempengerusikan sesi tersebut.

Semalam, kumpulan prokebebasan media, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) membantah keputusan MBSA yang tidak membenarkan wartawan membuat liputan pendengaran awam draf rancangan tempatan MBSA 2021-2035.

"Dilaporkan bahawa MBSA melarang kakitangan media membuat liputan pendengaran awam dengan memberikan alasan bahawa jemputan tidak disampaikan kepada media tetapi hanya untuk penduduk dan orang lain yang mengemukakan bantahan rasmi terhadap rancangan-rancangan itu.

"Alasan ini tidak boleh diterima kerana ini adalah masalah kepentingan awam dan, oleh itu, masyarakat mesti diberitahu," kata pengarah eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu dalam satu kenyataan.

MBSA berkata telah menerima 2,935 bantahan rasmi berhubung Draf Rancangan Tempatan MBSA 2035.

"Hasil rumusan dan maklum balas yang diterima dari sesi ini akan dibentangkan di peringkat kerajaan negeri memalui mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Selangor sebelum draf ini dimuktamadkan," kata majlis bandaraya itu.