'Saya janji takkan biarkan pakcik tidur di kaki lima lagi'
Beberapa hari selepas berkongsi kisahnya menolong seorang ibu, Puan Ros bersama sepuluh anak yang dihalau rumah sewa, kebaktian Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim sekali lagi menyentuh hati ramai orang.
Kali ini, Sim membantu seorang warga emas lelaki gelandangan yang dikenali dengan nama 'Uncle Kanda'.
Sim pada hantaran di Facebook berkata ketika dia berada di Melaka pada hari Rabu, seorang individu yang dikenali sebagai Hanis menghantar SMS kepadanya.
"(Dia) minta saya bantu seorang uncle yang tidur di sebuah pasar awam di Bukit Mertajam.
"Saya bergegas pulang dan setiba di Bukit Mertajam jam 2 pagi, saya terus turun mencari uncle tersebut.
"Bila saya sampai, Uncle Kanda sudahpun tidur di kaki lima. Sungguh sayu dan tidak sanggup lihat uncle yang umur sudah boleh jadi datuk orang sebegitu rupa.
"Malam itu juga, saya bawa uncle ke hotel berdekatan. Uncle bagitau saya, dia sudah enam bulan tak tidur atas katil," katanya.
Mulai saat ini, kata Sim, lelaki itu tidak perlu lagi tidur di atas jalan lagi.
Pada hari berikutnya, Sim menjemput Uncle Kanda makan sarapan, sebelum membeli belah pakaian baru di gedung Aeon Alma dan kemudian bergunting rambut.
"Beli kemeja baru, seluar baru, tali pinggang, sarung kaki, kasut, semua baru.
"Ada pakaian baru mestilah kena set rambut sempoi-sempoi.
"Uncle siap kata mau style macam Shah Rukh Khan.
"Saya cakap power saya belum sampai tahap itu.
"Takat boleh buat dia nampak muda sikit, stylo sikit, itu saya masih mampu," kata Sim lagi.
Selepas itu, ahli parlimen tersebut membawa Kanda ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.
"Hati saya berasa lega dan gembira bila doktor kata BP, kandungan gula semuanya okay.
"Cuma ada sedikit isu kulit, tak jadi masalah besar.
"Doktor beri suntikan dan ubat. Doakan Uncle Kanda akan sembuh segera," katanya lagi.
Menurut Kanda, motosikalnya ditinggalkan di bengkel setelah dia mengalami kemalangan beberapa waktu lalu.
Akibat kemalangan itu, dia kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.
Kedua-duanya segera pergi ke bengkel, di mana Sim menolong membayar kos pembaikan berjumlah RM1,100.
Dia juga menolong Kanda mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan gaji bulanan RM1,200.
Sim berkata dia juga telah memindahkan Kanda ke rumah baru dan pejabatnya akan memohon rumah kerajaan.
"Mulai sekarang, Uncle Kanda sudah ada rumah baru. Tak perlu bangun sebelum subuh untuk mengelakkan penjaja dan pengunjung pasar awam.
"Tak perlu tidur tilam basah dan busuk. Tak perlu mandi di tandas awam. Tak perlu merayau meminta ehsan orang ramai untuk makan dan minum.
"Maafkan saya kerana lambat sampai, tapi saya janji saya tak akan biarkan Uncle Kanda tidur di kaki lima lagi," katanya berkongsi kegembiraan mengenai Uncle Kanda yang akan memulakan kehidupan baru.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai