Dadah punca jenayah seksual di Kelantan, kata MB
Kerajaan Kelantan berpendapat isu jenayah seksual yang dikesan dan diambil tindakan di negeri itu banyak disumbang oleh masalah penyalahgunaan dadah.
Pada masa sama Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata isu berkenaan tidak hanya berlaku di negeri itu sebaliknya turut terjadi di tempat lain.
Pun begitu Ahmad berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif apabila bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk membanterasnya.
"Kes gangguan seksual itu berlaku di mana-mana sahaja dan pihak kerajaan cuba membendung masalah ini dengan memberi kesedaran kepada mereka.
"Apa yang menyebabkan berlakunya kes seperti (jenayah seksual) dan mengapa mereka terbabit dengan kegiatan ini - sekarang kita mencari punca.
"Masalah gangguan seksual ini sebenarnya berkaitan dengan pengambilan dadah dan ia harus dibendung," katanya.
Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata dengan bekerjasama dengan AADK kerajaan Kelantan berharap isu berkenaan dapat diatasi dengan berkesan.
Dia ditemui pada sidang media selepas merasmikan pasar awam dan penyerahan kuarters kerajaan Bandar Satelit Islam di Pasir Tumboh, Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Ahmad diminta mengulas isu serangan seksual yang banyak dilaporkan serta dilihat semakin membimbangkan di Kelantan.
Pada 26 Jan lalu Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata trend jenayah seksual di negeri berkenaan pada 2020 menunjukkan peningkatan berbanding 2019.
"Bagi kesalahan-kesalahan seperti rogol dan cabul agak meningkat dalam tempoh pandemik Covid-19.
"Kalau ikut statistik pada 2019, sebanyak 164 kes seksual dilaporkan. Pada 2020 terdapat 184 kes iaitu kenaikan 20 kes," katanya.
Ahmad berkata pihak bertanggungjawab diminta untuk membuat kajian berkenaan faktor penglibatan individu dalam masalah penagihan dadah.
Jelasnya, pihak berkenaan perlu membuat perbandingan kerana penglibatan individu dalam pengambilan dadah bermula seawal peringkat sekolah.
"Misalnya (buat) perbandingan antara individu bersekolah di aliran profesional dan bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang ada beza.
"Dari segi peratus - mana lebih banyak atau lebih sikit (terbabit dadah)," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai