DAP mahu bantu Tuan Ibrahim anjur sidang isu perubahan iklim
DAP hari ini berkata Menteri Air dan Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man perlu menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan untuk membincangkan isu-isu perubahan iklim.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata langkah itu perlu dibuat agar kerajaan khususnya kementerian berkenaan dapat mengumpul idea baru untuk memulihkan aktivisme dan kepemimpinan Malaysia.
Malah katanya DAP sendiri boleh memberikan sumbangan agar persidangan itu dapat diadakan.
"DAP bersedia membantu dan memberi sumbangan, terutama melalui mantan menteri Pakatan Harapan Yeo Bee Yin yang mendapat pengiktirafan antarabangsa atas usahanya bertindak dalam isu alam sekitar dan perubahan iklim," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia dibuat selepas Malaysia disahkan tidak mendapat jemputan AS untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tindakan Perubahan Iklim yang dijadual berlangsung pada 22 dan 23 Apr ini.
Sidang itu akan menampilkan pemimpin dari 40 negara termasuk sebahagian daripadanya adalah dari rantau Asia Tenggara seperti Vietnam, Indonesia dan Singapura.
Tuan Ibrahim pula menjelaskan Malaysia tidak dijemput kerana tidak tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada kesan perubahan iklim yang ketara.
Katanya Malaysia juga tidak termasuk dalam objektif utama persidangan iaitu menggalakkan negara ekonomi besar untuk meningkatkan komitmen mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah Celcius.
Timbalan presiden PAS itu juga berkata selain Malaysia banyak negara lain juga tidak mendapat jemputan itu termasuk Sweden, Switzerland dan Thailand.
Kata Lim Tuan Ibrahim sudah membuktikan tidak mampui menggalas tugas memberi kepimpinan dan kepakaran dalam hal berkaitan iklim, selain meletakkan dirinya seperti bekas presiden AS, Donald Trump yang tidak berminat terhadap aktivisme perubahan iklim
Dalil dikemukakan ahli parlimen Kubang Kerian itu juga, kata Lim, juga tidak boleh diterima kerana Singapura diundang walaupun negara itu tidak berada di bawah kategori pengeluaran gas rumah hijau atau terdedah kepada kesan iklim.
"Sebenarnya semua negara terdedah terhadap perubahan iklim, hanya yang membezakan mereka ialah sejauh mana ia menyumbang untuk mempromosikan tindakan perubahan iklim di wilayah masing-masing.
"Jelas Malaysia tidak dilihat sebagai rakan kongsi strategik untuk isu alam sekitar dan tindakan perubahan iklim oleh AS, lebih rendah berbanding Vietnam," katanya.
Kata Lim Tuan Ibrahim tidak boleh terus menafikan sindiran secara tidak langsung AS sebaliknya harus bertindak balas secara bertanggungjawab dan positif dengan meminta bantuan untuk mengembalikan kepemimpinan Malaysia seperti sebelum ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai