Persatuan restoran harap pekerja asing ada permit sah dibenar kembali ke M'sia
Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma) menggesa kerajaan untuk membenarkan warga asing yang mempunyai visa dan permit kerja yang sah dalam sektor makanan untuk kembali ke Malaysia.
Presidennya, Jawahar Ali Taib Khan berkata ramai pekerja asing dalam sektor makanan pulang ke negara asal sebelum penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kini tidak dapat kembali untuk bekerja.
"Buat masa ini kerajaan hanya membenarkan pembantu rumah yang mempunyai visa dan permit kerja yang sah untuk kembali ke Malaysia.
"Kami harap, pekerja asing dari sektor makanan juga turut dibenarkan kembali," katanya kepada Malaysiakini.
Jawahar mengulas rungutan beberapa pengusaha restoran di sekitar Kuala Lumpur berhubung masalah kekurangan pekerja.
Dia mendakwa terdapat kira-kira 20,000 pekerja yang mempunyai visa dan permit kerja sah, yang pulang ke negara asal sebelum ini.
"Presma bersama Primas (Persatuan Restoran India Malaysia) telah pun menyerahkan surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk mengkaji keputusan membenarkan pekerja restoran kembali ke Malaysia," katanya lagi.
Pengusaha restoran yang ditemui Malaysiakini meluarhkan kesukaran menjalankan perniagaan akibat kekurangan pekerja.
"Sebelum ini waktu perniagaan adalah dalam 12 jam sahaja. Sekarang telah dipanjangkan kepada 18 jam sehari. Jadi, kami tidak cukup pekerja.
"Ramai yang terpaksa membuka restoran sedikit lewat kerana masalah ini," kata Mohamed Rafi Mohamed, pemilik restoran di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Jawahar berkata pihaknya sedia menanggung kos untuk membawa masuk pekerja asing ini kembali ke negara.
"Dengan adanya vaksin, kami percaya mereka ini boleh dibenarkan kembali ke Malaysia," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi KSM dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengulas gesaan ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai