Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NUJM lancar tabung, latih semula bekas petugas media

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dengan kerjasama Pop Meals hari ini melancarkan tabung khas dalam usaha membantu bekas petugas media yang kehilangan pekerjaan.

Menurut Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah, setakat ini lebih 3,000 petugas media diberhentikan dan hilang sumber pendapatan akibat wabak Covid-19.

“Lebih menyedihkan sehingga kini masih ada bekas ahli kami yang gagal untuk mendapatkan pekerjaan dan terpaksa menggunakan duit simpanan yang semakin menipis selain bergantung kepada bantuan kerajaan untuk meneruskan hidup.

“Mereka (bekas petugas media) mempunyai pelbagai kemahiran dan kebolehan yang boleh dilatih semula, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab NUJM untuk mengerakkan inisiatif ini” katanya ketika pelancaran kempen "Help Journos Re-skill, Enjoy Pop Meals" di Putrajaya hari ini.

Farah berkata, dengan sasaran kutipan sumbangan RM100,000, NUJM akan menganjurkan bengkel latihan bagi memastikan bekas petugas media dapat memperluaskan kemahiran mereka serta menceburi bidang baru.

Katanya, NUJM menyasarkan penyertaan 400 bekas petugas media untuk menjalani latihan tersebut pada peringkat permulaan yang akan diadakan pada tahun ini.

“Sekiranya kami berjaya mendapat sumbangan dana daripada pelbagai pihak lain, maka, iniasitif ini akan diteruskan sehingga tiada lagi bekas petugas media yang menganggur,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Pop Meals, Shaik Ali Fikri Bajunid, berkata kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu petugas media yang selama ini banyak membantu masyarakat termasuk golongan usahawan.

“Kita tahu NUJM cuba untuk melatih semula petugas media yang dah lama dalam industri dan Pop Meals rasa mereka adalah rakan kongsi dalam menjayakan usaha ini.

“Untuk membolehkan NUJM memulakan inisiatif mereka, Pop Meals menyumbangkan wang tunai sebanyak RM5,000 selain potongan RM10 kepada petugas media bagi pembelian Pop Meals sama ada di kiosk atau menerusi aplikasi dalam talian,” katanya.

Tahun 2019 dan 2020 menyaksikan sejumlah petugas media kehilangan pekerjaan, termasuk akibat penutupan akhbar Utusan Malaysia, sebelum ia beroperasi semula di bawah pengurusan baru.

Hanya sebilangan kecil kakitangan asal akhbar tersebut dikekalkan, sementara yang lain merupakan kakitangan yang baru.

Tahun lalu, kumpulan Media Prima juga mengadakan VSS bagi mengurangkan kos operasi syarikat berkenaan.

Lawati laman web NUJ untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai bagaimana sumbangan boleh dilakukan.