Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia wajar sahut gesaan PBB gantung ordinan berita palsu

Malaysia harus menyahut gesaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya menggantung pelaksanaan Ordinan Berita Tidak Benar berhubung wabak Covid-19 dan pengisytiharan darurat, kata ahli akademik.

Profesor media dari University of Nottingham Malaysia, Zaharom Nain, berkata gesaan PBB itu menguatkan lagi tuntutan serupa yang dibuat oleh pelbagai kumpulan tempatan.

“Sudah pasti ia menguatkan lagi gesaan kumpulan tempatan serta individu-individu supaya ordinan yang tidak perlu dan sudah semestinya dibenci itu dapat dimansuhkan.

“Sebagai sebahagian daripada komuniti PBB serta merupakan penandatangan konvensyen dan piagam PBB yang berkaitan, kita mestilah berpegang pada janji supaya Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa,” kata Zaharom kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Zaharom berkata demikian sebagai maklum balas terhadap surat pelapor khas PBB tentang hak kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat, Irene Khan kepada wakil tetap Malaysia di Geneva, Switzerland, bertarikh 25 Mac. 

Antaranya, Irene berkata Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021, sangat menjejaskan kebebasan bersuara di Malaysia dan “melangkaui apa yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa”.

Zaharom Nain

Dalam surat yang disiarkan laman web Pesuruhjaya Tinggi PBB Untuk Hak Asasi Manusia itu, Irene menggesa kerajaan Malaysia menggantung pelaksanaan peruntukan yang bertentangan dengan undang-undang serta piawaian antarabangsa.

Beri kuasa pada mahkamah

“Bahkan jika pun ordinan itu bertujuan untuk melindungi kepentingan yang sah di bawah undang-undang antarabangsa, ia mestilah perlu serta bersesuaian dengan kepentingan yang mahu dilindungi.

“Syarat terhadap keperluan (untuk dilaksanakan) menandakan (perlunya) satu penilaian terhadap kesesuaian kekangan-kekangan (yang dikenakan).

“Dalam konteks ini, saya bimbang ordinan itu mungkin menyekat pandangan yang sah, terutamanya yang berkaitan dengan politik atau isu kesihatan,” katanya lagi. 

Irene turut menggesa Malaysia mempertimbang semula pendekatan dalam memerangi “berita tidak benar” dengan membangkitkan kembalinya beberapa elemen kontroversi di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang kini dimansuhkan.

Irene Khan

Dalam mendapatkan maklum balas daripada kerajaan Malaysia, Irene menasihatkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah perlu bagi melindungi kebebasan bersuara dan berpendapat, seperti dijamin Perkara 19 Deklarasi Universal mengenai Hak Asasi Manusia (UDHR) serta Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

Di Malaysia, pengkritik menyuarakan kebimbangan terhadap kesan ordinan berkenaan terhadap kebebasan bersuara dan berpendapat, meskipun kerajaan memberikan jaminan bahawa ia hanya akan digunakan bagi memerangi ‘berita tidak benar’ berkenaan Covid-19 dan pengisytiharan darurat. 

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 berkuat kuasa 12 Mac menyatakan mana-mana pihak yang "mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan" berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.

Ordinan itu memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan berita tidak benar untuk dipadam.

Jika pihak yang terlibat gagal berbuat demikian, mahkamah juga boleh mengarahkan polis atau pihak berkuasa untuk mengambil "langkah-langkah yang perlu" untuk menghapuskan berita tersebut.

Ordinan itu berkuat kuasa walaupun jika ada ketidakselarasan dengan Akta Keterangan 1950, selain memberikan kuasa kepada polis untuk membuat tangkapan, penguatkuasaan, penyiasatan dan pemeriksaan.

Pihak yang bersalah boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan yang berterusan, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

[Baca berita asal]