Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hujan, air pasang akibatkan banjir kilat di Batu Pahat

Hujan lebat kira-kira dua jam dan pertembungan fenomena air pasang besar mengakibatkan beberapa kawasan di bandar Batu Pahat dilanda banjir kilat, petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Batu Pahat Lt Mohd Faezie Abdul Aziz berkata kawasan terjejas adalah Jalan Pegawai, Jalan Bukit Pasir, Jalan Rahmat, Jalan Zabedah dan Terminal Bas Batu Pahat.

"Hujan lebat dan air pasang setinggi 1.47 meter bermula pada 3.40 petang tadi menyebabkan berlakunya limpahan air ke kawasan yang terlibat terutamanya kawasan berhampiran Sungai Batu Pahat.

“Sehingga 7.00 malam ini, agensi berkaitan masih memantau keadaan dan cuaca dari semasa ke semasa termasuk di tempat-tempat rendah yang berisiko," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka akibat banjir kilat tersebut.

Pengguna jalan raya dengan kenderaan ringan dinasihati mengelak melalui jalan-jalan utama di pusat bandar Batu Pahat atau kawasan yang terjejas banjir berkenaan,” katanya.

- Bernama