Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

M'sia, Brunei meterai perjanjian bangunkan dua medan minyak dan gas

Malaysia menerusi syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), memeterai Perjanjian Unitasi (UA) dengan Brunei Darussalam meliputi medan minyak Gumusut-Kakap dan Geronggong-Jagus East yang terletak di sepanjang sempadan maritim kedua-dua negara tersebut.

Perjanjian UA itu secara rasminya mengukuhkan penerusan kerjasama antara Malaysia dan Brunei serta mewujudkan platform bagi pembangunan bersama di kawasan itu oleh Petronas dan Sekretariat Unitasi Kebangsaan (NUS) Brunei untuk mempertingkat nilai yang diperoleh daripada aset tersebut untuk kedua-dua negara, demikian menurut kenyataan Petronas pada Isnin.

“Pemeteraian itu pada hari ini adalah bukti sinergi antara Petronas dan Kementerian Tenaga Brunei serta memaparkan satu lagi langkah ke arah memperkukuh kerjasama yang lama terjalin bagi berkongsi kejayaan yang lebih besar,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz yang hadir sama pada majlis tersebut.

Beliau berkata, susulan daripada pemeteraian perjanjian bermakna itu, Petronas yakin kedua-dua pihak dapat meneruskan momentum kukuh untuk membangunkan sektor tenaga di negara masing-masing demi pertumbuhan jangka panjang serta kemakmuran Brunei serta Malaysia.

Majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan pada Isnin bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam, turut disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Brunei diwakili oleh Pemangku Menteri Tenaga, Datuk Seri Paduka Awang Matsatejo Sokiaw.

Hadir sama adalah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Adif Zulkifli dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan.

- Bernama