Bersatu seru SPR segera laksana Undi18
Bersatu menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dipetik Bernama berkata langkah itu perlu sebagai mengiktiraf peranan serta penglibatan golongan muda dalam politik.
“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan Mesyuarat MPT parti itu semalam.
Pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh parlimen ialah menurunkan had umur layak mengundi, menjadi anggota Dewan Rakyat dan anggota Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik sebagai pengundi ketika umur 18 tahun.
Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi dirancang, digubal dan diusulkan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum lalu.
Ia mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli pada 16 Jul 2019. Sepuluh hari kemudian ia diluluskan oleh Dewan Negara pula.
Bagaimanapun status rancangan itu menjadi tanda tanya apabila yang dipertua Dewan Negara yang juga pemimpin Bersatu Rais Yatim berkata masa lebih panjang diperlukan untuk melaksanakannya.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh pula berkata Undi 18 hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 kerana persiapan mereka terjejas susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Susulan itu, ramai ahli parlimen pembangkang dan kerajaan membantah alasan SPR itu. Mereka mendesak supaya pelaksanaannya disegerakan demi menghormati Perlembagaan Persekutuan dan hak anak muda dalam menentukan masa depan politik.
Pilihan raya umum perlu diadakan sebelum 2023. Namun perkembangan semasa membayangkan lebih awal dari itu.
Malah lazimnya kerajaan akan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen lebih awal daripada tempoh tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai