Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis nafi mesej tular dakwa anggota mati akibat komplikasi vaksin

Polis Gerik menyangkal mesej tular yang mendakwa seorang anggota balai polis Gerik meninggal dunia akibat komplikasi setelah disuntik dos kedua vaksin Covid-19.

Mesej itu, yang disebarkan dalam bentuk laporan, mendakwa Korporal Rakmin Yusoff, 58, meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Gerik setelah dikatakan dibawa ke sana tengah hari semalam.

Mengulas mesej yang tular itu, Ketua Polis Gerik Zulkifli Mahmood berkata pesakit itu masih hidup dan kini ditempatkan di Hospital Taiping.

"Tak benar, ini fitnah.

"Keadaan pesakit stabil dan dia kini di Hospital Taiping.

"Dia dirawat selepas mengalami serangan jantung, bukan Covid-19," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata polis telah menerima maklumat yang mengaitkan dakwaan itu kepada akaun Facebook "Junaidah June".

"Tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun media sosial tersebut kerana tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.

"Ia mendatangkan kegusaran kepada masyarakat untuk menerima vaksin. Keluarga anggota polis itu turut menerima kesan akibat sikap yang tidak bertanggungjawab ini," katanya dalam kenyataan.

Mior berpesan agar orang ramai tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan sebelum merujuk pihak yang bertanggungjawab.

Untuk rekod, fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bakal bermula dua minggu lagi, iaitu pada 17 April ini. Ia menyasarkan warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Fasa pertama dijalankan pada Februari hingga April, antaranya melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan depan.

Fasa ketiga, yang juga terakhir, pula dijadual pada Mei ini hingga 2022. Ia bakal melibatkan warga berusia 18 tahun ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.