Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli parlimen PH terbuka Warisan lebar sayap di semenanjung

Tiga ahli parlimen Pakatan Harapan dari kawasan semenanjung mengatakan mereka tidak berasa ragu-ragu dengan rancangan Warisan - parti yang berasal dari Sabah untuk membuka cawangan di kawasan pengundian mereka di semenanjung.

Bagaimanapun, ahli parlimen - Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Khalid Samad (Shah Alam) dan Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) - berkata keputusan itu tidak boleh menyebabkan pertembungan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Ketua Wira (Pemuda) Warisan Mohd Azis Jamman berkata parti itu merancang untuk menubuhkan cawangan di Semenanjung Malaysia yang mempunyai diaspora Sabahan pada bulan April atau Mei.

Azis menyebut Shah Alam, Pasir Gudang dan Bukit Bintang sebagai contoh lokasi yang berada dalam rancangan.

Menyedari terdapat beribu-ribu penduduk dari Sabah yang tinggal di sekitar Shah Alam, Khalid berkata bahawa Warisan mempunyai hak untuk membuka cawangan di mana-mana saja.

Penduduk dari Sabah di Pasir Gudang, Johor mempunyai pasar mereka sendiri iaitu Pasar Borneo di mana ia dikongsi bersama dengan mereka dari Sarawak.

Hassan pula berkata, Presiden Warisan Shafie Apdal telah melakukan kempen di Johor pada tahun 2018 sebagai usaha untuk membuat penduduk Sabah pulang ke kampung halaman untuk mengundi pada pilihan raya umum.

“Saya sambut baik hasrat Warisan untuk bergerak di Semenanjung termasuk di Pasir Gudang.

"Kalau Umno dan PKR boleh berkembang ke Sabah, mengapa Warisan tak boleh melebarkan sayapnya ke Semenanjung," katanya.

Selaku wakil rakyat DAP, Fong (gambar, bawah) berkata dirinya mengalu-alukan Warisan untuk menubuhkan cawangan di kawasannya, terutama jika mahu membantu rakyat.

"Saya mengalu-alukan mereka untuk menjaga masyarakat Sabah. Ia adalah perkara yang baik.

“Ia adalah perkara yang harus dilakukan. Kita juga akan berusaha menolong mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Pun begitu, jika Warisan bertanding di semenanjung, Fong berkata parti dari Sabah itu tidak dibenar bertanding di kawasan Bukit Bintang.

"Bukit Bintang adalah tempat lahirnya DAP... bagaimana kita boleh menyerahkannya," soalnya.

DAP telah bertanding di kerusi tersebut sejak pertama kali parti itu ditubuhkan pada tahun 1986 dan menang pada setiap kali PRU.

Gambar fail, PRN Sabah.

Khalid, bagaimanapun, lebih terbuka untuk berunding asalkan ia tidak menyebabkan pembangkang berdepan dengan pecah undi.

“Ia menjadi harapan saya bahawa sama ada di Sabah, Selangor, Kedah atau di tempat lain, parti-parti pembangkang dapat bekerjasama dan bersetuju calon-calon untuk mana-mana kerusi dan mengelakkan daripada pecah undi.

"Jadi, jika mereka mempunyai cawangan di Shah Alam, dan mereka bekerjasama dengan kita, maka cawangan mereka akan menyokong kita dan siapa pun calonnya sama ada calon itu berasal dari Warisan atau PH.

"Kita akan saling menyokong sesama calon," kata Khalid.

Bagaimanapun, pandangan Hassan agak samar-samar apabila mengatakan sebagai ahli parlimen PKR, dia menyokong amalan demokrasi dan tidak ada syarat yang harus dikenakan pada Warisan.

"Akhir sekali komen saya ialah ahli politik perlu berfikir sebagai seorang negarawan.

"Seorang negarawan memikirkan tentang generasi akan datang. Manakala seorang ahli politik yang biasa hanya memikirkan pilihan raya akan datang," jelasnya, memetik mutiara kata ahli teologi Amerika, James Freeman Clarke.

[Baca berita asal]