Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

15 cedera, bas terbabas di lebuh raya Plus

Seramai 15 orang termasuk seorang pemandu cedera apabila sebuah bas ekspres dinaiki mereka dipercayai terbabas ke bahu jalan di Kilometer (KM) 265 Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan Terowong Menora arah selatan di Ipoh, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Shahrudi Muhamad Halil berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan 12 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 14 hingga 59 tahun itu pada pukul 2.22 pagi.

"Kami segera mengerahkan seramai 16 anggota dan pegawai dari BBP Meru dan bantuan dari BBP Ipoh ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat," katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang terbabas dan terbalik ke dalam longkang di sebelah laluan jalan dan terdapat dua mangsa yang cedera parah.

Shahrudi berkata anggota bomba telah membantu mengeluarkan mangsa dan memberi rawatan awal sebelum kesemua mangsa dibawa oleh ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya operasi bersama-sama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan itu berakhir pada pukul 4.39 pagi.

- Bernama