Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Undi18: Polis patut mudahkan perhimpunan aman, kata menteri

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mahu Akta Perhimpunan Aman 2012 dipinda supaya polis dapat memudahkan pelaksanaan perhimpunan aman.

Dia berkata demikian bagi mengulas siasatan polis ke atas peserta himpunan Undi 18 yang diadakan bagi membantah penangguhan dasar menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

"Perhimpunan awam yang sepenuhnya aman, tidak seharusnya dikenakan siasatan polis; mereka (peserta) harus dimudahkan oleh polis, sambil mengambil kira kebimbangan ketenteraman awam yang sah.

"Hak pemprotes untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan mereka mesti dipertahankan, dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Zuraida, dia faham bahawa polis menyiasat perhimpunan itu berpandukan Akta Perhimpunan Awam 2012, namun perubahan perlu dilakukan.

"Undang-undang itu perlu disemak semula bagi lebih memudahkan perhimpunan awam yang aman. Saya tak berasakan niat mereka (polis) adalah untuk menekan sesiapa," jelasnya.

Tambahnya lagi, dia berpegang kepada kebebasan berhimpun seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan mengatakan dia juga pernah ditahan kerana hal serupa.

"Saya ambil berat, dan akan bangkitkan perkara ini ke kabinet," katanya.

Perhimpunan pada 27 Mac di luar Parlimen itu adalah sebagai respons terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan Undi18 sehingga September 2022.

Ini bermaksud, mereka yang berusia 18 ke 20 tahun tidak boleh mengundi sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini. 

PRU dijangka diadakan Ogos setelah perintah darurat dijadual ditarik balik.

Bagaimanapun, Zuraida memberi jaminan bahawa kerajaan sedang melakukan segala usaha bagi melaksanakan Undi18.

"Saya yakin SPR sedang melakukan semuanya sedaya mungkin bagi memastikan Undi18 menjadi realiti pada tempoh paling awal ia boleh dilaksanakan.

"Kerajaan ini (PN) tanpa ragu dan dengan tegas menyokong Undi18," katanya.

Pindaan perlembagaan bagi membolehkan Undi18 dilaksanakan telah diluluskan secara sebulat suara pada 2019.