Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemerhati: Kementerian Luar perlu jelaskan kenapa panggil China 'abang'

Kementerian Luar Negeri perlu menjelaskan istilah 'abang' yang digunakan menterinya, Hishammuddin Hussein ketika merujuk hubungan antara Malaysia dan China, menurut beberapa pemerhati hubungan antarabangsa.

Mereka berkata penggunaan istilah itu boleh disalah tafsir bahawa Malaysia tunduk kepada China.

"Kementerian Luar Negeri digesa menjelaskan penggunaan terma hubungan 'abang-adik' yang boleh ditafsirkan sebagai China menjaga dan melindungi Malaysia manakala Malaysia mengalah dan tunduk kepada China.

"Sedangkan kedua-dua negara mempunyai pelbagai pertindihan isu kedaulatan yang berbangkit,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka juga menggesa Hishammuddin memberi penjelasan berkenaan hala tuju dasar luar Malaysia dengan China susulan kenyataan tersebut.

Kenyataan itu ditandatangani oleh alumni Kajian Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Muhammad Ariff Mohamad Nizam, Strategic Studies & International Relations Researcher Group (Strategik) Ahmad Muziru Idham Adnan dan Koordinator Penyelidikan, Research for Social Advancement (Refsa) Fakhurrazi Rashid.

Hishammuddin kini dalam kunjungan dua hari ke China atas undangan Menteri Luar China Wang Yi. Dalam kunjungan itu, kedua-dua negara antara lain menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pembentukan jawatankuasa tinggi bagi mempromosi kerjasama pasca wabak Covid-19.

Dalam sidang media bersama setelah pemeteraian tersebut, Hishammuddin dilaporkan berkata MoU tersebut antara lain merangkumi perdagangan dan pelaburan, keselamatan makanan, sains dan teknologi, pengaturan perjalanan, dan projek di bawah inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR).

Hishammuddin juga dilihat berkata China akan sentiasa menjadi 'abang' kepada Malaysia.

“[…] You will always be our elder brother (anda akan sentiasa menjadi abang kepada kami)," katanya.

Ia dibalas Wang Yi dengan kata-kata "we are brothers" (kita adalah bersaudara).

Kata-kata Hishammuddin itu menerima kritikan sejumlah pengguna media sosial yang melihatnya sebagai kepatuhan Malaysia kepada China yang berisiko menjejaskan kepentingan negara.

Dalam pada itu, mereka berkata istilah 'abang' atau seumpamanya tidak wajar digunakan apabila melibatkan hubungan diplomatik dua negara.

“Penggunaan terma sedemikian tidak wajar digunakan dalam memandu dasar luar Malaysia.

“Sikap berkecuali (non-alignment) dan peranan sebagai kuasa pertengahan (middle power) perlu kekal konsisten dalam mengutamakan kepentingan negara,” kata mereka.

Kata mereka, istilah itu turut memberi isyarat dalam soal hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain.

“Kalau China dianggap sebagai ‘elder brother’ maka ia akan memberi isyarat besar kepada hubungan diplomatik dengan negara-negara berkuasa besar lain dan negara-negara serantau dari sudut hubungan diplomatik.

“Ia juga menimbulkan tanda tanya terhadap hala tuju dasar luar Malaysia dengan negara-negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat dan sebagainya," kata mereka lagi.